Saturday, 2 August 2025

Proposal manuskrip Lacrimosa lulus!

 Assalamualaikum. Maaf dah berapa bulan aku tak update blog ni. Sebenarnya aku nak blogwalking blog orang pun rasa malas tau. Sebab rasa macam tak rajin nak baca dan komen. Korang yang ada blog tu jangan lah kecik hati pulak kalau aku tak drop komen dekat blog korang. 

Sekarang ni pun, badan aku tengah tak sihat. Tambah-tambah pulak dengan cuaca yang panas bahang ni. Aku tak dapat nak bayangkan macam mana nanti kalau suhu mencecah 40C. Dekat tempat aku baru cecah 35C aku dah menggelupur tau haha. Sekarang ni kena banyakkan minum air masak dan jangan lakukan aktiviti outdoor masa cuaca tengah panas bahang. 

Baiklah, nak dijadikan cerita, aku nampak satu penerbitan buku ni (aku rahsiakan dulu nama publisher tu ya) ada iklankan dekat IG diorang bermula bulan Julai, segala manuskrip yang dihantar mestilah kena send proposal dulu. Bagi aku, proposal ini sekaligus dapat menjimatkan masa diorang nak baca manuskrip satu-satu. Rasa macam membazir kalau dah baca semua, tapi manuskrip tu tak menepati kriteria diorang. 

Aku ni saja nak try luck. Mana tahu dapat. Haha. Sejujurnya mulai tahun ni aku berazam nak hantar jugak manuskrip. Setelah sekian lama menyepi kan. Aku ada tulis dekat Wattpad tentang manuskrip yang aku nak send proposal tu. Sebelum aku send, aku ada pin kan cerita tu dekat Thread. Dan admin diorang repost cerita aku. Aku rasa satu peluang yang baik. Mungkin proposal aku akan lulus.

Sebelum send, aku pastikan segala maklumat yang diorang mintak tu mencukupi. Aku buat dalam bentuk table, senang diorang nak tengok. Buat kemas-kemas. Pastikan maklumat tentang manuskrip tu diorang mudah nak faham. Nanti tak pasal-pasal kena reject. 

Aku hantar proposal dalam pukul 12 tengah malam macam tu. Aku tunggu dalam masa 2 hari je. Aku terkejut sebenarnya sebab diorang luluskan proposal aku. Macam tak percaya pulak. Kali ni, diorang nak mintak manuskrip penuh. Aku harap sempat siapkanlah. 

Doakan aku menjadi penulis yang berjaya ya! 

Oh ya, pada yang nak baca cerita raw aku tu, aku sertakan linknya di sini. Mana tahu korang boleh bagi feedback untuk aku perbaiki penulisan aku tu. 

Lacrimosa
Baiklah, setakat ini sahaja untuk hari ini. Selamat berkenalan dengan Nadine dan Kyra!

Tuesday, 25 March 2025

Checklist umrah untuk perempuan

 Assalamualaikum. Maaf ya lama sangat aku menyepi di blog ni. Bukan apa, aku jadi sindrom malas nak taip panjang-panjang. Entri tu sentiasa ada, tapi jari ni cukup malas nak taip. Cuma hari ni, aku push kan diri jugak untuk cari entri yang aku rasa sekarang ini ramai yang tercari-cari. 

Alhamdulillah, aku telah selamat balik dari menunaikan ibadah umrah pada 1 Februari 2025 yang lepas. Aku sempat jalan-jalan Mesir juga. Bila aku free nanti, aku buatkan 1 post ya. Post yang pergi Bandung part II pun aku tak buat lagi haha. Korang sabarlah ya.

Aku pergi ke Mekah dan Madinah selama 8 hari. 4 hari di Mekah, 4 hari di Madinah. Di sini aku share keperluan yang sangat korang perlukan, lagi-lagi perempuan kan? Kalau boleh 1 almari korang nak angkut haha. Untuk pengetahuan korang, list yang aku senaraikan ini memang yang aku betul-betul guna saja tau, dan aku jugak cuci baju di sana sebab aku nak jimat. Aku tak hantar dobi. Kalau dobi akan mahal sikitlah.  

Checklist pakaian 

1. Baju hitam sekali seluar - 2 helai

2. Jubah hitam-1 helai

3. Tudung hitam-3 helai

4. Baju putih sekali seluar-1 helai

5. Jubah putih-1 helai

6. Tudung putih-2 helai

7. Anak tudung hitam-2 helai

8. Anak tudung putih-2 helai

9. Sockhand-4 pasang *bawak lebih pun tak apa

10. Stoking-6 pasang ** bawak lebih pun tak apa

11. Telekung-1 set

12. Mini sejadah-1


p/s: aku beli kasut tawaf tu tapi at last aku tak guna pun. Tawaf pakai stoking saja. Tapi pastikan stoking tebal lah, sebab lantai sejuk. 


Checklist flight

1.Passport

2. Visa

3. Boarding pass


Checklist keperluan mandian

1. Satu set mandian SUCHI (sabun, syampu, pencuci muka, ubat gigi, deodoran, losyen, lip balm, krim tumit)


Checklist ketika menunaikan umrah

1. Satu buku zikir ketika umrah, al-quran, zikir ringkas 

2. Tasbih

3. Botol spray air-1 botol

4. Tisu basah-6 set **memudahkan untuk lap kasut sebelum masuk masjid dan juga sebagai makeup remover. Pastikan tisu basah tak ada wangian. 

5. Uncang kasut-1

6. Telekung ** nak solat macam tu saja pun tak apa.

7. Sejadah

8. Botol air kecil-1 botol untuk isi air zamzam


Okeylah, setakat itu dulu. Nanti kalau ada masa, aku share pengalaman aku pergi sana pulak ya. Sekian..selamat membaca.

Wednesday, 1 January 2025

Puasa Rejab

Terdapat empat bulan yang dimuliakan di sisi Allah SWT agar umat Islam dapat mengambil manfaat yang ada padanya. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram.”
(Surah at-Taubah: 36)

KENAPA BULAN INI MULIA DI SISI ALLAH?
Imam Fakhruddin ar-Razi menuliskan di dalam kitabnya:
وَمَعْنَى الْحَرَمِ: أَنّ الْمَعْصِيَةَ فِيْهَا أَشَدُّ عِقَاباً، وَالطَّاعَةُ فِيْهَا أَكْثَرُ ثَوَاباً
Maksudnya: “Maksud ‘haram’ adalah sesungguhnya kemaksiatan di bulan-bulan itu memperoleh seksa yang lebih berat dan ketaatan di bulan-bulan tersebut akan mendapat pahala yang lebih banyak.”
(Kitab Tafsir al-Fakhrur Razi)

Selain itu, Syeikh Wahbah az-Zuhaili turut menjelaskan dalam kitab Tafsir al-Munir fil Aqidati was Syari’ati wal Manhaji:

“Selain dikenali sebagai bulan mulia dan agung, empat bulan di atas memiliki nilai-nilai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Maka, siapa yang melakukan ketaatan atau kemaksiatan pada bulan tersebut, balasannya lebih banyak daripada bulan yang lain.”
Empat bulan haram yang dimaksudkan adalah:
(1) Zulkaedah
(2) Zulhijjah
(3) Muharram
(4) Rejab

Ia berdasarkan hadis daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.
(HR al-Bukhari, hadis sahih)

DI SEBALIK PENAMAAN BULAN REJAB
Imam Al-Hafiz Abu Hasan bin Muhammad Hasan al-Khalal menukilkan dalam kitab Fadhailu Syahri Rajab:
قِيْلَ لِرَسُوْلِ اللهِ لِمَ سُمِيَ رَجَبَ؟ قَالَ: لأنَّهُ يُتَرَجَّبُ فِيهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ لِشَعْبَانَ وَرَمَضَانَ
Maksudnya: “Dikatakan kepada Rasulullah, “Mengapa ia dinamakan Rejab?” Rasulullah menjawab: Kerana sungguh banyak di dalamnya kebaikan untuk bulan Sya’ban dan Ramadhan.”

Imam al-Manawi al-Qahiri menjelaskan lebih luas tentang maksud hadis di atas dalam kitabnya, Faidhul Qadir Syarh Jami’us Soghir:
فَالْمَعْنَى أَنْ يُهَيَّئَ فِيْهِ خَيْرٌ كَثِيْرٌ عَظِيْمٌ لِلْمُتَعَبِّدِيْنَ فِي شَعْبَانَ وَرَمَضَانَ
Maksudnya: “Maka makna (hadis tersebut), adalah dengan disediakan di dalamnya suatu kebaikan yang banyak dan agung bagi mereka beribadah (sebagai persediaan memasuki) bulan Sya’ban dan Ramadhan.”

DOA SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI DI MALAM 1 REJAB 🤲🏻
إِلٰهِيْ تَعَرَّضَ لَكَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ الْمُتَعَرِّضُوْنَ وَقَصَدَكَ فِيْهِ الْقَاصِدُوْنَ وَأَمَّلَ فَضْلَكَ وَمَعْرُوْفَكَ الطَّالِبُوْنَ، وَلَكَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ نَفَحَاتٌ وَجَوَائِزُ وَعَطَايَا وَمَوَاهِبُ، تَمُنُّ بِهَا عَلَى مَنْ تَشَاءُ مِنْ عِبَادِكَ، وَتَمْنَعُهَا مِمَّنْ لَمْ تَسْبِقْ لَهُ الْعِنَايَةُ مِنْكَ وَهَا أَنَا عَبْدُكَ الْفَقِيْرُ إِلَيْكَ، اَلْمُؤَمِّلُ فَضْلَكَ وَمَعْرُوْفَكَ، فَإِنْ كُنْتَ يَامَوْلَايَ تَفَضَّلْتَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ عَلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ وَجُدْتَ عَلَيْهِ بِعَائِدَةٍ مِنْ عَطْفِكَ، فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَاٰلِهِ، وَجُدْ عَلَيَّ بِطَوْلِكَ وَمَعْرُوْفِكَ يَا رَبَّ الْعَــالَمِيْنَ
Maksudnya: "Ya Tuhanku, pada malam ini orang-orang yang berpaling (dari rahmat-Mu) telah berpaling, orang-orang yang mempunyai tujuan telah datang (kepada-Mu), dan para pencari telah mengharap anugerah dan kebaikan-Mu. Pada malam ini, Engkau mempunyai tiupan rahmat, piagam-piagam penghargaan, hadiah macam pemberian dan anugerah. Engkau berikan semua itu terhadap hamba-hamba-Mu yang Engkau kehendaki. Dan Engkau tidak memberikannya terhadap orang yang tidak memperoleh pertolongan dari-Mu. (Kitab Al-Ghunyah, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

AMALAN YANG BOLEH DILAKUKAN SEMASA BULAN REJAB
1. Perbanyakkan dan perbetulkan bacaan al-Quran.
2. Perbanyakkan puasa sunat seperti hari Isnin, Khamis dan Hari Putih.
3. Menghidupkan solat malam.
4. Perbanyakkan berdoa, berzikir dan bersedekah.
5. Menghabiskan puasa ganti bagi wanita yang belum habis menggantikan puasa.
6. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan larangan Allah SWT kerana balasan daripada maksiat juga digandakan.
Semoga bermanfaat buat semua.
Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Popular Posts