Thursday, 13 February 2014

Bagaimana nak jadi tekun?



Bertanyalah Diri, Apa Yang Allah Mahukan? 

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?
Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah mahukan daripada kerjaku ini?
Allah Mahukan Kita Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah mahukan kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita sahaja.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti  jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).

Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya,  ia memang sukar  dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.
Allah Mahukan Kita Hidup Memberi Manfaat

Sabda Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi).

Daripada hadis ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain.

Orang mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri.
Allah mahukan setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat pertengahan dan seimbang.
Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).

Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat  kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.
Aspek-aspek keseimbangan itu ialah:
1. Aspek fizikal dan material.
    Praktikal:
    a. Memastikan makanan kita halal, baik dan berkhasiat. 
    b.Memastikan pakaian kemas dan bersih.
    c. Memastikan tempat tinggal tersusun rapi dan nyaman.
    d. Memastikan kenderaan dalam keadaan yang memuaskan.
    e. Memastikan orang di bawah tanggung jawab kita turut menikmati keperluan ini.
2. Aspek akal atau pemikiran.
    Praktikal:
    a.  Menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah sedaya upaya.
    b. Meluaskan bacaan.
    c. Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kebolehan.
    d. Melakukan aktiviti-aktiviti yang menajamkan minda atau IQ.
    e. Banyak berfikir, mengkaji  dan berbincang.
    f. Bercita-cita menjadi insan berilmu malah sebagai pakar rujuk.
    g. Membantu rakan-rakan, adik-adik atau sesiapa sahaja belajar.

3. Aspek emosi.
    Praktikal:
    a. Memuhasabah sifat pemarah, memandang rendah, rendah diri dan lain-lain.
    b. Banyak memahami sebelum minta difahami.
    c. Menjadi pendengar yang baik.
    d. Melahirkan perhatian, simpati dan empati.
    e. Merawat tekanan emosi dengan kemahiran menyelesaikan masalah.
    f. Menguasai kemahiran interpersonal dengan baik.

4. Aspek rohani atau spiritual.
    Praktikal:
    a. Memantapkan akidah dan iman.
    b. Mendalami soal-soal akhirat seperti  alam barzakh, padang mahsyar, syurga, neraka dan 
sebagainya.
    c. Memahami konsep dosa dan pahala.
Orang mukmin yang menyedari keperluan untuk menjadi seimbang ini, akan tekun mencapainya. Setiap hari, dia menjadi tekun untuk memasukkan kualiti baru ke dalam diri.
Allah Mahukan Kita Hasilkan Kerja Yang Professional dan Berintegriti

Allah mengabadikan kata-kata keramat puteri Nabi Syuaib di dalam al-Quran.

Maksudnya: “Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: ‘Wahai ayahanda, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat (al-qawiyy) lagi amanah (al-amin).’       

Apa yang Allah mahukan? Allah mahukan hasil kerja yang professional (al-qawiyy) dan berintegriti (al-amin).

Dalam peristiwa yang terakam di dalam al-Quran ini, dua orang puteri Nabi Syuaib iaitu Syafura dan Liya terpegun dengan keperibadian Nabi Musa a.s. Beliau bukan sahaja gagah melaksanakan tugasannya ketika menolong mereka memberikan air kepada binatang-binatang ternak, bahkan  cukup amanah dan berakhlak mulia melaksanakannya.

Lantas, dilaporkan kepada si ayah. Nabi Syuaib pantas berminat menawarkan perkerjaan kepada Nabi Musa. Jelas, dengan sifat professional dan berintegriti yang dimasukkan dalam diri seseorang mengundang rasa kepercayaan dan kekaguman. Kesedaran ini akan menjana sifat tekun untuk mencapai piawaian al-qawiyy dan al-amin di sisi Allah. 

Dalam perkerjaan yang kita lakukan samada belajar, membuat assignment, mengadakan perbentangan, belajar berkumpulan, membuat persiapan untuk peperiksaan, mengikuti program peningkatan diri serta kepimpinan dan sebagainya, Allah mahukan kita menjadi al-qawiyy (kuat lagi professional) serta al-amin (amanah dan berintegriti). Itulah hasil kerja yang berkualiti dan perlukan ketekunan untuk mencapainya. 
Allah Mahukan Kita Terbilang Dunia dan Akhirat
Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan carilah apa yang telah dikurniakan kepadamu (kebahagian) di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (Surah al-Qashah: 77).

Apa yang Allah mahukan?  Allah mahukan kita cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW juga mengajar kita berdoa agar mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat.

Sesetengah remaja keliru sendiri, “Saya sudah belajar bersungguh-sunguh dan tidak bergaul bebas, tapi keputusan peperiksaan saya biasa-biasa sahaja. Baik jadi macam dia. Dia studi lepak-lepak, bercinta pula tu, tapi result gempak. Dia lebih berjaya.” Kepercayaan silap ini mempengaruhi sikap dan tindakan remaja itu untuk tidak lagi tekun mencapai kesungguhan dalam belajar dan keindahan dalam berakhlak.

Hakikatnya ramai orang yang masih tidak tahu erti berjaya meskipun setiap orang menginginkannya. Adakah berjaya itu apabila mendapat keputusan berderet A tetapi asyik derhaka kepada Allah dengan bergaul bebas sebelum berkahwin? Adakah berjaya itu apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik tetapi menyombongkan diri daripada orang sekeliling? Adakah berjaya itu apabila kebijaksanaannya dikagumi orang tetapi berakhlak buruk?

Berjaya yang hakiki ialah apabila mendapat wajah Allah, keredhaan-Nya dan  syurga yang abadi. Maka, segala apa yang kita usahakan di dunia mestilah bermatlamatkan akhirat. Jika usaha kita  tanpa disertai niat dan akhlak ahli syurga, kejayaan daripada usaha itu hanyalah bersifat sementara, menipu daya dan tidak ke mana.

Maka, mukmin yang sedar akan tekun melengkapi diri dengan kualiti dunia dan akhirat kerana hidup ini menjadi penting dengan adanya negeri abadi. Setiap perbuatan baik walau sebesar zarah akan dihargai dan setiap perbuatan jahat walau sebesar zarah akan dibalasi.
      
     
Target Mencapai Piawaian Allah

Lakukanlah sesuatu dengan meletakkan piawaian Allah SWT di hadapan sebagai target yang ingin dicapai. Insya-Allah, ia suatu rahsia hebat untuk menjana ketekunan atau jiddiyyah yang luar biasa dalam hidup kita.

Popular Posts