Sunday, 30 January 2022

Pageviews ke 79,000!


Selamat pagi semuanya. Alhamdulillah aku dan family sihat-sihat sahaja. Semalam, aku sajalah bukak blog kejap, tengok-tengok komen yang pembaca tinggalkan. Tengok-tengok pageviews dah cecah 79k. Agak cepat jugak.

Cuma, tiada lagi yang dapat screenshot pageviews aku yang ke 78k hari tu. Rugilah korang hehe. Kalau tak, aku boleh bagi hadiah dekat korang. Okay, kali ini kita nak countdown pageviews kita. Siapa lah yang bertuah itu ya. Bersama-sama kita nantikan ya. 

Korang yang datang ke blog aku tu, rajin-rajinlah komen di post aku. Inshallah, aku akan datang dekat blog korang. Orang kata blogwalking kan? Oh ya, giveaway aku masih valid ya. Tak sabar rasanya siapa yang bertuah untuk aku letakkan di bloglist aku tu. Thanks a lot sebab korang dah banyak support aku sampai ke tahap ini. 

Okay baiklah, sampai sini sahaja entri untuk hari ini. Jumpa lagi.

Thursday, 27 January 2022

Hukum Memakan Daging Penguin



Soalan: Assalamualaikum. Apakah hukum memakan daging penguin?


Jawapan: Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.

Definisi penguin dan habitatnya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penguin ialah sejenis burung laut di Antartika yang berwarna hitam putih, berkaki pendek, menggunakan sayapnya untuk berenang, dan berjalan tegak lurus di darat. Penguin membentuk order penguin, Sphenisciformes, dan famili Spheniscidae. Ia termasuk dalam sekumpulan burung akuatik yang tidak dapat terbang.

Penguin ialah burung luar biasa yang berdiri tegak di atas kakinya yang pendek dan berjalan tergedek-gedek dengan gaya yang kekok dan menggelikan hati. Penguin tidak boleh terbang tetapi pandai berenang. Penguin tinggal di separuh bahagian di dunia selatan. Beberapa jenis penguin, termasuk penguin Adelie dan penguin Maharaja tinggal di atas ais Antartika. Yang lain-lain terdapat jauh di utara di kawasan yang menerima arus laut yang sejuk dari kawasan Antartika.

Semua penguin mempunyai bulu pendek dan tebal pada badannya yang pendek dan gempal. Bulunya putih di perut dan hitam atau hitam kebiru-biruan di belakang. Sesetengah penguin mempunyai jambul daripada bulu panjang di sisi kepalanya dan tompok-tompok berwarna cerah pada lehernya yang pendek dan lebar. Penguin hilang keupayaan untuk terbang berjuta-juta tahun dahulu. Sayapnya bertukar menjadi sayap sirip yang berfungsi sebagai dayung dalam air. Sayap sirip ini serta kaki renang, menjadikan penguin pandai berenang dan menyelam. Bulunya yang pendek dan lebat menjadi bulu kalis air. Lapisan lemak yang tebal memanaskan penguin semasa dalam air sejuk.

Penguin memakan ikan. Ia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam air, tetapi bertelur dan membela anaknya di atas darat atau di ais. Semasa di darat, ia membuat sarang dalam koloni yang dikenali sebagai rookery. Sesuatu rookery mungkin mengandungi sehingga sejuta penguin.

Hukum memakan penguin

Pada asasnya, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i. Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram.] 

Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging penguin iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain. Begitu juga, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Sumber:Maktabah al-Bakri 


Coffee Lovers, Ini Yang Perlu Anda Tahu!


Selamat pagi semua! Semoga anda dimurahkan rezeki selalu. Baiklah, hari ini aku nak kongsikan sedikit tips dan cara nak order coffee untuk coffee lovers! Sebelum itu, korang kenalah tahu mengapa kopi ini selalu sahaja mendapat tempat di hati pengguna. Sebagai contoh, korang tengok sahajalah dekat Starbucks, Zus, Richiamo Coffee, alah contoh terdekat Mc Cafe dengan kedai mamak, mesti ada saja kan peminat kopi. Tak beli kopi susu pun, mesti selit jugak kopi kosong. 


Sejarah kopi. 


Kopi adalah minuman yang dicampurkan dengan air panas. Kopi berasal daripada benih biji kopi yang dipanggang menghasilkan suatu air berperisa pahit manis.  Jadi, tidak peliklah bahawa air kopi menjadi air yang disukai di seluruh dunia. 

Minuman ini mula ditemui dalam abad ke-9 di tanah tinggi Habsyah. Dari situ, ia berkembang ke Mesir dan Yaman di mana ia dimasyhurkan dalam kalangan ahli sufi. Pada abad ke-15, air ini telah sampai ke Armenia, Parsi, Turki dan utara Afrika. Dari negara Islam, akhirnya penyebaran kopi tersebar ke Itali dan seluruh Eropah sehingga pergi sejauh benua Amerika.

Penanaman kopi

Terdapat dua spesies utama pokok Kopi iaitu Coffea Arabica merupakan kopi tradisional, dan dianggap lebih baik. Seterusnya, Coffea Canephora (Robusta) mempunyai kandungan kafein yang lebih tinggi dan boleh ditanam di kawasan yang tidak sesuai untuk Arabica. 

Ini mendorong kepada penggunaannya sebagai gantian yang lebih murah bagi Arabica dalam kebanyakan hasil kopi perdagangan. Berbanding Arabica, Robusta cenderung mempunyai rasa pahit dan lebih berasid. Robusta pula kopi yang bermutu tinggi digunakan sebagai bahan dalam sesetengah campuran ekspresso untuk menambah lebih rasa pada kos yang lebih rendah. Di Itali kebanyakan ekspresso menggunakan Robusta  yang digoreng garing (dark roasted ).


Buah kopi



Pengambilan kopi kepada kesihatan tubuh


Secara umumnya mengambil kopi ‘O’ tanpa gula dengan jumlah yang sederhana adalah baik kepada kesihatan. Mengambil kopi O dengan gula yang sedikit sekadar satu sudu masih boleh dikira sihat, tetapi jika diambil dengan pemanis gantian lain seperti stevia atau sukralose yang tanpa kalori adalah lebih baik.  Namun, kopi yang dicampur dengan krimer juga tidak sihat kerana krimer mengandungi asid lemak ‘trans’ yang tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi punca masalah pengerasan saluran darah (atherosklerosis) dan boleh menyebabkan masalah penyakit jantung.

Secara umumnya secawan kopi mengandungi 95mg kafein. Jumlah pengambilan kafein yang selamat dalam sehari adalah menurut United States Department of Agriculture (USDA) dan European Food Safety Authority (EFSA) adalah tidak melebihi 400mg sehari iaitu lebih kurang 2 ke 4 cawan kopi sahaja sehari. Walaubagaimanapun wanita yang mengandung dinasihatkan hanya mengambil kafein tidak melebihi 200mg sehari.

Kopi boleh menyebabkan ketagihan bagi sesetengah orang dan kebiasaannya orang yang ketagih kopi yang akan mengambil kopi secara berlebih-lebihan. Kesan kopi yang ‘berlebihan’ juga akan menghilangkan khasiatnya yang baik seperti meningkatkan stres, meningkatkan kadar keradangan saluran darah secara tidak lansung meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia juga meningkatkan rintangan insulin darah dengan itu menyebabkan masalah diabetes pula. Di samping itu pengambilan kopi secara berlebihan akan menyebabkan masalah gastrik, pedih ulu hati, penghadaman terganggu dan mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus. Ia juga boleh menyebabkan gangguan kepada tidur, menyebabkan kemurungan dan kerisauan yang melampau.

Sumber: Dr. Norman Mohd Norawi.

Guide memilih jenis kopi







Baiklah, untuk korang yang masih noob lagi nak order kopi macam mana, berikut akan aku kongsikan macam mana nak pilih jenis kopi mengikut kesesuaian taste korang. 

1. Coffee Latte: Susu 80% kopi 20%





2. Cappucino: Susu 50% kopi 50%




3. Machiato: Susu 10% kopi 90%




4. Americano: Kopi 100%




5. Espresso: Kopi 200%




Baiklah, setakat ini sahaja entry kali ini, semoga bermanfaat. 

Tuesday, 25 January 2022

Movie Review: Makmum 2




Makmum 2 adalah sebuah movie horor Indonesia tahun 2021 oleh produksi Blue Water Films dan Dee Company yang diarahkan oleh Guntur Soeharjanto. Movie ini merupakan sekuel dari movie Makmum di tahun 2019 dan diadaptasi dari film pendek karya Riza Pahlevi. 

Movie ini ditayangkan di pawagam Indonesia pada 30 Desember 2021 dan juga ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam pada 13 Januari 2022.

Sinopsis

Selepas kematian suaminya, Rini bersama anaknya Hafiz pulang ke kampung kerana ingin melawat dan menguruskan pengebumian makciknya yang baru sahaja meninggal dunia. Kata orang kampung, makciknya menemui ajal akibat pergi ke Hutan Larangan. Rini sama sekali tidak percaya dan akan merungkaikan masalah itu sendiri. Sejak hari pertama kedatangan Rini ke kampung tersebut, pelbagai peristiwa aneh yang berlaku. Antaranya, jin Khanzab iaitu hantu Makmum sering mengganggunya ketika solat seakan-akan mahu memberi petunjuk kepadanya. Keadaan semakin memburuk apabila anaknya, Hafiz hilang dan ditemukan di dalam Hutan Larangan itu. Rini cuba untuk menyembuhkan Hafiz dengan caranya sendiri. 

Para pelakon

Titi Kamal sebagai Rini
Samuel Rizal sebagai  Alif
Pritt Timothy sebagai Pak Ustadz
Kukuh Prasetya sebagai  Pemandu
Marcella Zalianty sebagai Aisyah
Dea Panendra sebagai Lastri
Otig Pakis sebagai Mbah Zahar
Ence Bagus sebagai  Dika
Jason Doulez Beunaya Bangun sebagai Hafiz
Seteng Yuniawan sebagai  Petugas PLN
Fuad Idris sebagai Pak Ajis
Tomo Idris sebagai  Doktor
Misha Jeter sebagai Ningsih
Zayen Aqilah sebagai Budak tempang 
Yusuf Ozkan sebagai Afdal


REVIEW*
Sebenarnya aku sudah lama tonton movie ini dekat pawagam, cuma masih belum berkesempatan untuk review. Movie ini kalau korang tidak menonton Makmum 1 pun tidak mengapa, storyline nya amat berbeza berbanding Makmum 1. Pelakon utamanya masih tidak berubah, namun beberapa pelakon yang asal telah ditukar. Kiranya dalam movie Makmum 2 ini banyak pelakon barulah. 

Movie ini masih lagi ditayangkan di pawagam, jadi jangan lepaskan peluang korang untuk tengok. Bagi aku movie ini ada sedikit elemen keseramannya dan jumpscare pada awal-awal movie. Cuma, aku sedikit tertanya-tanya watak pada akhir movie dan siapa budak pada pertengahan movie tersebut. Masih lagi timbul tanda tanya. Aku harap akan ada terungkailah persoalan itu pada movie yang akan datang. Bahagian jumpscare movie ini aku bagi 7/10 sebab berjaya membuatkan aku terkejut dan masa aku tengok movie ini aku pejam mata jugak lah, mana tahu ada hantu keluar ke kan. 

Namun, apabila sampai ke pengakhiran cerita, bagi aku cerita ini agak dragging dan pengajaran utama cerita ini adalah bersama-samalah menjaga alam sekitar kita kerana makhluk halus di dalam Hutan Larangan itu tidak mahu penduduk menebang pokok yang sudah mereka diami sejak beribu-ribu tahun lamanya. Akibat itu, pembinaan masjid asyik tertangguh kerana di bahagian dindingnya retak terus. Jadi, untuk korang yang nak lihat sendiri movie ini di pawagam, korang boleh pergi di pawagam yang berdekatan. Bagi aku tak salah untuk menonton, cuma janganlah sampai mengganggu diri kita sewaktu solat sudah. 

Sekian sahaja entri untuk kali ini. Nah, aku belanja trailer untuk movie ini





Beli Baju Yenz, Berpeluang Memenangi IPHONE 13 Bernilai RM6999 dan OOTD Cash Sebanyak RM500!


Sumpah rasa down bila tengok kawan-kawan, family orang lain dan orang teristimewa pakai baju sedondon pergi event, pergi berkelah dan pergi bercuti? Jangan risau, sekarang ini korang boleh dapatkan baju sedondon dengan Yenz! 

Apa kelebihan jika korang beli baju dengan Yenz? 

Material baju Yenz sangat sejuk dan menyerap peluh, di samping membuatkan korang rasa selesa apabila keluar walaupun cuaca panas. Tambahan pulak, baju Yenz ini didatangkan dengan pelbagai design yang menarik dan cantik. 

Pilihan design baju Yenz

Berikut akan aku kongsikan gambar-gambar instafamous memakai baju dari Yenz ini ya. Nampaknya mereka pun menjadikan baju Yenz ini satu pilihan yang sesuai untuk OOTD! Confirm tak menyesal!







Apa yang korang akan dapat jika beli baju Yenz?

Korang, sekarang ini Yenz akan membuat cabutan bertuah, sesiapa sahaja yang membeli baju dengan Yenz, korang berpeluang untuk memenangi Iphone 13 bernilai RM6999 dan juga kepada OOTD terbaik akan memenangi RM500 cash! Menarik kan? 


Jenis pilihan baju berserta harga

Lengan panjang- RM80
Lengan pendek-RM 70
Flash sale baju berserta hoodie (free gelang+ free lagi baju Yenz)-RM149

Cup! Nanti dahulu, ini adalah harga sebelum promosi ya, jadi jika korang nak dapatkan baju ini dengan harga promosi, korang boleh ke link ini ya. Nyatakan korang lihat dari mana promosi baju ini ya masa korang PM seller ini untuk beli. 

Beli baju Yenz


Baiklah, setakat ini sahaja entry untuk kali ini, selamat membeli belah!

Monday, 24 January 2022

Tutorial Memasang Widget "Online Users" Blog


Hai korang. Semoga korang sihat-sihat selalu ya. Baiklah, sepanjang aku berblogging ini, aku nak tulis dan kongsi tutorial, tips sebanyak mungkin untuk dijadikan rujukan aku pada masa hadapan juga. Tidaklah perlu tercari-cari lagi di Google nanti. Betul tak? Kali ini, aku nak kongsikan bagaimana nak memasang Widget Online User sama seperti blog aku. Korang boleh tengok di sidebar sebelah kanan, di situ ada tulis kan beberapa orang yang online, maksudnya mereka ini datang singgah sekejap di blog aku untuk membaca. 




1. Korang pergi ke sini ya http://www.freeusersonline.com/

2. Akan keluar paparan seperti ini, korang tulis sahaja alamat url blog korang. 




3. Copy code yang diberi

4. Buka blog > Layout > Add a gadget > Html Javascript

5. Paste kan code tadi.

6. Preview and save!

Semoga bermanfaat! Terima kasih singgah di blog ini ya. 

Hentikan Bercukur Jika Tak Mahu Ini Terjadi! Inilah Sebabnya Anda Perlu Bertukar Kepada Waxing.



Seringkali kita gunakan pencukur untuk membuang lebihan bulu-bulu yang ada di badan kita. Namun, tahukah anda, bercukur hanyalah akan membuatkan anda rasa gatal, tetapi bulunya tidak tercabut dari akar? Amatlah rugi kerana bulu ini hanya dicabut atas permukaan sahaja. Sebab itulah, bulu akan cepat panjang dan menjadi kasar, amat berbeza jika anda gunakan wax. 

Keburukan bercukur

Bercukur ini mempunyai beberapa keburukan untuk kulit, antaranya ialah permukaan di tempat yang dicukur itu menjadi hitam, kulit akan menjadi luka akibat daripada tajamnya pisau itu, dan yang paling rasa kurang selesa, apabila kita rasa tajam-tajam. Jadi, lebih baik bertukar kepada wax. Kulit rasa licin sahaja. 

Mengapakah anda perlu gunakan wax?

Penggunaan wax dapat membantu melambatkan pertumbuhan bulu. Apabila anda gunakan secara konsisten, bulu yang tumbuh akan menjadi halus dan jarang-jarang. Penggunaan wax tidak akan menyebabkan bulu anda menjadi panjang dan tebal. Namun begitu, kadar masa pertumbuhan bulu bergantung kepada hormon seseorang. Berikut adalah kitaran jangkaan masa pertumbuhan bulu pada tubuh badan kita. 

1. Ketiak > 2-3 minggu 

2.  Kaki > 2-3 bulan

3. Private part > 1-2 minggu

4. Atas bibir > 1-2 bulan


Mengapakah anda perlu memilih Wawawax?




Berikut pengalaman aku sendiri, jika bercukur akan menyebabkan kegatalan dan naik tiny bumps. Rasa yang tidak selesa kerana asyik menggaru sahaja kan, jadi aku bertukar kepada Wawawax. Sangat mudah nak guna, didatangkan dengan kain strips dan kayu aiskrim untuk letakkan wax. Sangat mudah dan pantas. Tak perlu panaskan pun. Sebenarnya sebelum bertukar kepada Wawawax, aku sendiri pernah cuba wax jenama lain, cuma bulunya tak banyak grip berbanding Wawawax. Jadi, untuk waxing, aku sarankan korang beli brand ini ya. 

Tips Waxing

1. Sebelum wax, pastikan anda skrub kan tempat mana yang hendak di wax kan itu. Ini untuk bulu lebih senang dicabut dan kurang rasa sakit. 

2. Pastikan tabur bedak di tempat yang hendak wax terlebih dahulu. Kalau berpeluh atau basah, bulu susah hendak dicabut. 

3. Lepas selesai wax, jangan lupa letakkan aloe vera dan skrub kembali dalam masa 24 jam lah untuk mengelakkan ditumbuhi ingrown hair. Ingrown hair ini kalau dia nak tumbuh memang sakit jugaklah. Tak senang duduk dibuatnya. 

Kelemahan Wax Jenis Ini, Boleh Tukar Kepada Hard Wax

Jika guna wax jenis tiub ini agak melekit juga sebab gula kan, kain strip juga perlu dibasuh.  Jadi jika tak nak guna wax jenis ini, boleh guna hard wax. Senang, tak perlu basuh pun kain strip. 

Baiklah, sekian sahaja untuk entry kali ini. Moga bermanfaat. 



Sunday, 23 January 2022

Panduan Genggaman Pensel yang Betul Buat Anak


Kenapa anak kita malas nak menulis dan mewarna? Nak pegang pensel pun macam nak tak nak saja kan? Hai para mommies sekalian, kemungkinan bukanlah anak kita malas, tetapi mungkin cara genggaman pensel anak kita itu kurang betul. Sebab itu susah mereka nak pegang pensel. 

Anak bukan saja-saja nak mengadu penat tau. Mungkin cara anak pegang pensel tak sesuai mengikut usianya. Jadi, ibu bapa perlu ambil perhatian ya. Berikut adalah contoh genggaman pensel dengan cara yang betul. Sesuai dengan peningkatan umur anak. 



Kenapa anak rasa tak berminat bila menulis antara sebabnya cara pegangan pensel yang tak betul.

Contoh boleh lihat dalam gambar, pegangan kuat dan tegang akan buatkan tangan anak terasa penat. Sebab tu anak jadi tak suka nak menulis and dicop “malas”. 



Anak akan berminat untuk pegang pensel sekiranya ibu bapa tunjukkan cara yang betul. Tapi diingatkan ya, proses ini memakan masa juga. Tak boleh nak expect anak-anak terus boleh pegang pensel dengan baik dalam sehari. Ini perlu dorongan, sokongan dan bimbingan ibu bapa juga. Beri anak-anak ruang dan masa untuk mereka buktikan cara memegang pensel dengan betul.

Jika terlihat anak anda masih memegang pensel seperti umur 1 tahun, sedangkan mereka sudah berumur 4 tahun, maka ini menandakan mereka memerlukan bantuan ibu bapa. Ibu bapa  boleh merangsang aktiviti kemahiran motor anak di dalam dan di luar rumah. Semoga berjaya!

Semoga bermanfaat.

Kenapa dengan Google Adsense?


Hai korang. Semoga dipermudahkan urusan hari ini. Boleh dikatakan setiap hari jugak aku check baki Google Adsense aku untuk tengok perkembangan blog aku yang agak dikira masih barulah kan, sebab baru rajin nak update berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

Aku agak musykil sebenarnya dengan pengiraan Adsense ini. Ada tak sesiapa yang mahir macam mana nak kira? Bahagian total earnings tu masih tidak berganjak, sedangkan ada juga yang klik iklan aku, yang ini aku tak pastilah kenapa earning tak naik. Huhu. Bukan itu sahaja, kadang-kadang ada satu hari itu naik juga earning untuk hari itu sahaja, tapi di bahagian total earnings tidak berubah. 

Adsense ini memerlukan kriteria yang macam mana ya untuk menaikkan bahagian total earnings tu. Agak noob sikit bahagian ni. Aku cuba sertakan gambar di bawah ya. Maaf lah earnings masih lagi sikit, haha. Sesetengah orang dia segan nak tunjuk baki dalam Adsense. Tak apalah, itu adalah hak masing-masing.


Last payment tu masih yang sama walaupun last 28 hari aku earning ada. Dia tak bertambah pula. Jika ada sesiapa yang arif pasal pengiraan Adsense, bolehlah komen di bawah ya. Aku amat hargai.

Sekian ini sahaja entry untuk kali ini. 

Saturday, 22 January 2022

Pageviews Dah Cecah 77000!


Alhamdulillah, baru berkesempatan nak tengok pageviews dekat blog. Dah cecah 77000! Rasa tak percaya dah naik ke angka ini. Dulu rasa susah sangat nak naik pageviews ni. Lagi tak update, selagi tulah asyik berhabuk tak tentu arah, haha. 

Rasa terharu, sebak semua ada. Iyalah, nak cecah 1 juta macam lambat lagi, jadi cukuplah boleh berbangga dengan 77 ribu ni betul tak?

Rasa macam nak bagi hadiah saja sesiapa yang rajin dan screenshot pageviews kita 78 ribu, 79 ribu and so on. Kalau kita buat ni, ada tak yang nak join ya? Ini tiada paksaan tau. Siapa rajin skodeng blog kita, mesti dia sempat screenshot betul tak? 

Kalau korang ada cadangan hadiah, korang boleh letakkan komen di bawah ya, inshallah aku akan baca. Cuma nak balas tu ambil masa sikitlah, sebab bukan 24 jam aku bukak blog. 

Okay baiklah, setakat ini sahaja entry aku kali ini. Terima kasih pada korang yang datang singgah blog aku ini ya.

Tatacara Sujud Syukur







SUJUD SYUKUR: ADAKAH PERLU BERWUDHUK DAN MENGHADAP KIBLAT?


SOALAN: 
Assalamualaikum ustazah. Baru-baru ni anak saya dapat tawaran belajar ke Mesir. Saya nak buat sujud syukur tapi saya tak tahu macam mana caranya. Perlu berwudhuk dulu dan hadap kiblat ke? Mohon pencerahan, terima kasih ustazah.

JAWAPAN:
SubhanAllah alhamdulillah, terima kasih atas persoalan yang sangat baik. Semoga Allah terus beri kekuatan dalam usaha meningkatkan iman dan taqwa.

Menjadi seorang hamba yang bersyukur kepada Allah SWT adalah wajib bagi setiap mukmin. Bahkan siapa yang tidak bersyukur kepada manusia bererti dia juga tidak bersyukur juga kepada Allah SWT.

Daripada Asy’as bin Qais r.a., Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: "Tidak akan bersyukur kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia."
(HR Abu Daud, hadis sahih)

DEFINISI SUJUD SYUKUR

Sujud bererti merendah dan menghambakan diri kepada Allah. Ia merupakan perbuatan yang sangat dicintai Allah SWT, bahkan sujud menjadi bukti kita mengakui keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Syukur pula membawa maksud menghargai atau berterima kasih kepada sesuatu pemberian. Sebagai Muslim, wajib bagi kita mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT.

Justeru, sujud syukur adalah sujud yang dilakukan untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT atas nikmat yang hadir secara tiba-tiba atau terselamat daripada sesuatu bala.  

DALIL DAN HUKUM SUJUD SYUKUR


Terdapat sebuah hadis di dalam Kitab Syarah Minhaj at-Talibin (Jalan Penuntut Ilmu):

Daripada Abu Bakrah, beliau menceritakan:
 
أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
 
Maksudnya: "Apabila terdapat perkara yang menyenangkan atau Baginda diberi khabar gembira, maka Baginda sujud kerana bersyukur kepada Allah."
(HR Abu Daud, hadis sahih)
 
Daripada ‘Abdurrahman bin ‘Auf, bahawasanya Rasulullah SAW  pernah bersabda:
 
إِنِّي لَقِيتُ جَبْرَائِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ فَبَشَّرَنِي وَقَالَ: إِنَّ رَبَّكَ، يَقُولُ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ، وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَسَجَدْتُ لِلَّهِ شُكْرًا
 
Maksudnya: “Aku bertemu dengan Jibril a.s., lalu dia memberikan khabar gembira kepadaku dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhanmu telah berfirman: Barang siapa yang mengucapkan selawat kepadamu, maka aku akan mengucapkan selawat kepadanya. Barang siapa yang mengucapkan salam kepadamu, maka aku akan mengucapkan salam kepadanya’. (Mendengar hal itu), aku pun bersujud kepada Allah bersyukur kepada-Nya”. 
(HR al-Baihaqi, hadis sahih) 
 
1. Mazhab Syafi’e dan Hanbali memutuskan bahawa hukum sujud syukur ialah sunat menurut kitab Mughni al-Muhtaj.
 
2. Imam Syaukani menyatakan dalam Al-Bahr Az-Zikhar, Rasulullah SAW melakukan sujud syukur pada tempat dan situasi tertentu. Oleh itu, sujud syukur tidaklah wajib. 
 
3. Di dalam kitab Fathul ‘Alam pula beliau berkata tiada hadis yang mensyaratkan untuk berwudhuk atau menghadap kiblat bagi sujud syukur. 
 
4. Syeikh Zakariya al-Ansari menerangkan di dalam Syarah al-Bahjah, sunnah sujud syukur ialah seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat.
 
5. Sayyid Sabiq menyebutkan di dalam kitabnya, Fiqh as-Sunnah, sujud syukur dilakukan ketika: 
 
Menerima berita gembira seperti disembuhkan daripada penyakit kronik, rezeki yang tidak disangka-sangka dan seangkatan dengannya.
 
Ditimpa musibah, misalnya seseorang yang terselamat daripada bencana atau malapetaka. 
 
Bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita, hukumnya wajib. Manakala perbuatan sujud syukur itu adalah sunat. 
 

TATACARA SUJUD SYUKUR 


1. Niat.

Lafaz niat sujud syukur:

نَوَيْتُ سُجُوْدَ الشُّكْرِ سُنَّةَ لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku melakukan sujud syukur sunat kerana Allah Taala”. 

2. Takbiratul Ihram.

3. Sujud (sekali sahaja) dan baca seperti bacaan berikut:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ

Maksudnya: “Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali atas pertolongan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

4. Duduk seperti tahiyat akhir tanpa membaca tasyahud. 

5. Memberi salam.

BILAKAH WAKTU UNTUK SUJUD SYUKUR


Ketika adanya nikmat, rezeki, kebahagiaan atau mendapat hidayah dalam keadaan tak disangka-sangka. Jika nikmat itu berterusan atau berkekalan, misalnya sudah ada kereta, rumah atau pekerjaan, maka itu tidak termasuk dalam perkara yang dibolehkan sujud syukur.
 
Sujud syukur juga sunat dilakukan ketika terhindar daripada musibah seperti selamat daripada bahaya atau bahkan terselamat daripada melakukan kemungkaran. 
 
Contoh nikmat yang datang tiba-tiba adalah seperti kes sahabat yang bertanya, iaitu dapat panggilan bahawa anak beliau diterima sambung pengajian di Mesir. 

📍 Atau ketika seorang isteri yang melahirkan anak dalam keadaan selamat sejahtera. 
📍 Atau ketika mendapat berita dinaikkan pangkat, menambah elaun atau gajinya.
📍 Atau ketika ahli keluarga yang hilang, kemudian berjaya ditemui semula.
📍 Atau ketika berperang lalu mendapat kemenangan.
📍 Atau ketika kita melihat seseorang mencuri di depan mata, lalu kita sedar bahawa kita tidak terdorong melakukan kemungkaran yang sama seperti pencuri itu. Maka sunat kita sujud syukur ketika itu.
 
Tuan Puan, 
 
Sebenarnya orang yang diberi musibah iman seperti mencuri, mencarut, rasuah, berzina, dan lain-lain itu jauh lebih dahsyat berbanding orang yang diuji secara zahir seperti banjir, kematian, kehilangan harta, dll. 

KELEBIHAN SUJUD SYUKUR


Firman Allah SWT

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
(Surah Ibrahim 14: 7)

الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d 13: 28)

SubhanAllah, sujud syukur memberi banyak hikmah kepada orang yang melakukannya. Antaranya: 

📍 Merasai kepuasan rohani kerana menerima anugerah daripada Allah SWT .
📍 Semakin dekat dengan Allah sehingga memperoleh bimbingan dan hidayahNya.
📍 Ditambahkan nikmat daripada Allah SWT dan selamat dari seksaNya.

KESIMPULAN

📍 Hukum sujud syukur ialah sunat.
📍 Sujud syukur boleh dilakukan tanpa berwudhuk atau menghadap kiblat.
📍 Tatacara sujud syukur adalah niat, takbiratul ihram, sujud, duduk tasyahud akhir (tanpa membaca tahiyat), dan memberi salam.
📍 Dilakukan ketika menerima khabar gembira atau nikmat yang baik, dengan syarat bukan nikmat yang berterusan atau berkekalan.
📍 Juga dilakukan ketika terselamat daripada bencana atau terhindar daripada maksiat yang besar seperti zina, curi, meminum arak dan lain-lain.

Rujukan:


1. Kitab Syarah Minhaj at-Talibin, karangan Imam Nawawi.
2. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-136: Sujud Syukur, Adakah Memerlukan Wudhu’ & Menghadap Kiblat? 

Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun
 

Thursday, 20 January 2022

Perlukah Ibu Bapa Rotan Anak Sekiranya Mereka Lemah dalam Pembelajaran?


Kejayaan anak sudah semestinya dapat menggembirakan hati ibu dan ayah. Jika aku duduk di kasut mereka, aku juga merasai begitu. Namun, tidak terfikirkah kalian sekiranya anak selalu diherdik dan dirotan, jiwanya akan menjadi malap, rasa tidak berguna dan tersisih?

Anak-anak sememangnya akan cuba mendengar kata ibu dan ayah. Contohnya jika mereka meminta anak untuk mengulangkaji pelajaran, anak mereka akan ikut. Namun gaya pembelajaran si anak akan berbeza-berbeza. Karakter anak-anak kita pun berbeza, tak akanlah gaya pembelajaran dan cara kita mengajar adalah sama, betul tak?

Ada orang kata, budak sekarang lemah, lembik, tidak tough sebagaimana cara hidup kita yang hidup zaman 80-an dengan 90-an. Tali pinggang, paip getah, rotan buluh tidak usah cakap lah, semua pernah kena libas bukan? Sekiranya kita ditangkap kerana menipu, siaplah, lagi teruk dikerjakan. 

Namun, beginilah peredaran zaman,anak-anak kita berbeza dengan kita. Ada yang tidak boleh kena tegur sikit, hati tisu. Ada yang kena tegur dengan cara sentap, baru masuk ke hati. Ibu bapa perlu mengenalpasti cara anak belajar, barulah boleh pastikan bagaimana untuk menegur anak dengan betul. Namun perlukah rotan anak sekiranya mereka lemah dalam pembelajaran?




Faktor anak gagal dalam pembelajaran.

Anak bukannya gagal. Sebaliknya mereka tidak tahu dan keliru. Umpama kita menyuruh anak membaca bahasa lain, sedangkan anak tidak tahu pun nak baca. Begitulah. Sedangkan kita pun baca packaging tulisan korea untuk beli ramen pun kena translate. Sama jugak dengan anak-anak. Mereka berasa tertekan kerana asyik dipaksa untuk belajar dan belajar sedangkan huruf pun mereka tak kenal.

Ibu dan bapa perlu tahu anak sudah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Sebenarnya, ibu bapa sudah boleh melihat prestasi anak mereka melalui tulisan.

Jika anak tulis terbalik, ketahuilah dia sebenarnya keliru dan belum memahami bentuk huruf yang betul. Dalam erti kata lain disleksia. Dia berasa dengan melihat huruf ini seolah-olah dia menari bersama dengan huruf ini.

Disleksia bukan bererti bodoh. Mereka sebenarnya hanya tidak tahu membezakan huruf dan mengira. Itu sahaja. Mereka boleh dibimbing, namun dengan cara yang konsisten. Tidak perlu gusar wahai ibu ayah sekiranya result peperiksaan teruk. Tidak perlu sampai rotan hingga naik berbirat di peha, kaki anak. Rotan bukanlah penyelesaian masalah. 




Kesan penggunaan rotan 

Anak-anak akan semakin menjauh. Cukuplah rotan sekali hanya untuk memberi pengajaran, kerana Rasulullah Saw mengajar kita supaya merotan anak yang berumur 10 tahun tidak solat. 

Emosi anak-anak akan tidak stabil kerana mereka sebenarnya struggle untuk memahami pelajaran tersebut meskipun mereka sebenarnya tidak faham pun. Hargailah usaha anak-anak anda. Setidak-tidaknya berilah kata semangat buat mereka.

Cara mengajar anak yang lemah dalam pembelajaran.

Berilah mereka semangat dan motivasi untuk belajar, meskipun mereka hanya mendapat markah rendah. Berilah ganjaran untuk mereka, setidak-tidaknya mereka berusaha untuk memenangi hati kita sebagai ibu dan ayah.

Jangan sesekali membandingkan anak kita dengan anak jiran sebelah, anak kawan kita dan anak dalam televisyen. Anak tidak suka dibanding-bandingkan. Cukuplah memberikan contoh buat mereka jadikan inspirasi.

Ajarilah anak anda dengan seikhlas mungkin. Hari ini mungkin dia dapat, hari lain dia tak dapat. Jadi, nak mengajar anak bukan setakat selesai sehari dua, malah berterusan. Biasalah, kita sebagai ibu ayah kadang-kadang rasa stres penat dengan kerja, balik rumah anak tunjukkan kad laporan kemajuannya yang tidak memberangsangkan.

Jangan cepat terus menghukum ya. Beri anak anda peluang dan ruang untuk membuktikan mereka mampu, mereka boleh! Cakaplah dengan lembut tetapi tegas. Tegas bukanlah perlu marah menjerit sehingga jiran tetangga sebelah rumah keluar, sebalik bertegas dengan anak dengan cuba ceritakan impaknya jika anak tidak belajar bersungguh-sungguh. Inshallah anak akan faham.




Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian untuk hari ini. Moga bermanfaat.

Wednesday, 19 January 2022

Tips Menabung Emas dengan Maybank



Hai korang. Aku harap urusan korang dipermudahkan dan semoga kejadian bencana banjir dapat surut dengan segera. Amin. Aku rasa terharu kerana masih ada rakyat Malaysia yang berhati mulia dapat menolong masyarakat lain yang kesusahan.

Okay baiklah. Entri kali ini aku nak kongsikan bagaimana aku beli dan simpan emas di Maybank. Aku sejenis kurang sikit simpan barang kemas di tangan. Takut hilang. Jadi aku simpan di bank sahaja. Lebih selamat dan terjamin.

Rupa-rupanya, Maybank menawarkan simpan emas serendah RM10 sahaja. Jadi korang dah boleh simpan emas dengan kadar harga yang sangat murah bagi yang tak mampu beli 1 gram setiap bulan. Macam aku, aku pun tak mampu setiap bulan beli 1 gram. Jadi aku beli mana yang mampu sahaja.

Langkah-langkah korang nak simpan emas di Maybank.

1. Log in di Maybank2u. Pastikan pakai laptop ya, kalau pakai apps dia tak keluar.

2.Search perkataan WEALTH

3.Akan ada option open Miga-i Gold Investment. Tekan Apply Now

4.Di situ korang kena masukkan amaun RM10 sekurang-kurangnya untuk nak activate akaun. Macam aku, aku masukkan RM100. Memang hajatnya nak simpan RM100 setiap bulan untuk emas sahaja.

5.Masukkan no tac atau secure2u. Macam aku, aku dah guna secure2u, jadi kena bukak apps di phone untuk allow kan transaksi. Kalau guna no tac, check no tac di phone

6.Isi no tac atau allow transaksi dan selesai. Korang dah berjaya simpan emas.



Ini sebagai contoh sahaja. Berikut adalah contoh emas yang aku dah beli hari ini. Harga emas akan sentiasa berubah-ubah ya.

Setakat ini sahaja entri aku untuk kali ini. Jika korang ada apa-apa pertanyaan, aku kongsikan video ini bagi korang mudah faham macam mana nak buat ya.



Cara Menghilangkan Rasa Pijar Cili Di Tangan





Hai semua pembaca blog sekalian. Pejam celik, pejam celik sudah kita menghampiri akhir bulan 1. Sudah tidak terasa bukan, masa berlalu dengan amat pantas. Semoga tahun ini berlalu dengan memberi manfaat dan menyimpan memori sebanyak mungkin.

Seperti yang kita tahu, kegunaan cili dalam masakan Melayu sudah tidak asing lagi. Rasa tidak lengkap sesuatu masakan sekiranya tidak diletakkan cili merah, cili hijau, cili boh, dan cili giling seumpamanya. Seolah-olah cili ini memberikan impak yang besar dalam setiap masakan. Betul bukan? 

Tahukah anda, cili atau nama saintifiknya adalah Capsicum spp adalah sayuran yang berbuah. Cili juga mempunyai nama panggilan yang tidak asing lagi iaitu lada atau cabai. Kedua-dua ini merujuk kepada sayuran yang sama. Jadi, anda tidak akan keliru lagi sekiranya nama atau label sayuran ini terpapar di pasaraya kerana ianya membawa maksud yang serupa. 

Bagaimana cili menghasilkan rasa pedas? 

Kandungan capsaicin yang ada di dalam cili ini membuatkan lidah kita terasa pedas apabila kita memakannya. Kandungan ini juga amat hot selling kerana sangat tinggi permintaannya dalam pembikinan rempah. 

Asal-usul cili

Cili dikatakan berasal dari Mexico dan juga Amerika Selatan melalui penanaman baka liar. Apabila penanaman ini berjaya, barulah cili diluaskan ke negara-negara Eropah yang lain. Permintaan terhadap sayuran cili ini semakin hebat terutama kepada negara yang beriklim tropika sesuai dengan perubatan mahupun masakan.

Dikatakan juga, cili ini dibawa masuk oleh orang Portugis dan menjangkakan ianya akan menjadi sistem barter yang berbaloi sama seperti lada hitam pada ketika itu. Oleh itu, cili dibawa masuk ke negara India pada kurun ke 15.

Manfaat cili kepada kesihatan badan

1. Rasa pedas cili dapat meningkatkan aliran darah di dalam badan sekaligus mengelakkan risiko darah beku.

2. Jika mahu menurunkan berat badan, maka makanlah cili kerana sayuran ini dapat meningkatkan metabolisme badan dan mengeluarkan peluh dalam membakar kalori.

3. Cili juga dapat membantu menyihatkan jantung yang lebih baik 

4. Dengan peluh, akan membaiki sistem penghadaman kita. Sebab itu, tidak pelik jika seseorang itu makan pedas akan terus ke tandas untuk membuang air.

5. Dapat mencegah kanser

6. Meningkatkan hormon dan pada masa yang sama dapat mengurangkan rasa depresi.

Cara Menghilangkan Rasa Pijar Cili Di Tangan

Tangan kita akan terasa pijar kerana terdapat capsaicin yang terkena reseptor tangan kita. Reseptor ini merupakan deria yang ada di dalam tangan kita. Reseptor ini merangsang deria sakit. Jika terkena lidah akan terasa sakit dan apabila terkena tangan, tangan akan terasa pijar. Begitulah. 

Capsaicin ini tidak larut air. Jadi apabila kita cuba mencuci tangan dengan air apabila terkena cili, maka rasa pedih tangan itu tidak hilang. Tetapi, capsaicin ini larut dalam lemak atau minyak. Justeru, berikut adalah beberapa cara untuk menghilangkan rasa pijar di tangan selepas memegang cili.

1. Menggunakan susu.

Susu mengandungi satu protein yang dipanggil casein. Melaluinya, ia akan memutuskan rantaian dan ikatan dengan capsaicin yang berada di reseptor kulit tersebut. Oleh itu, sebelum mencuci tangan dengan air sabun, cucilah dengan susu terlebih dahulu.

2. Menggunakan minyak

Jika tiada sabun di rumah, maka gunalah minyak. Tambahan pula, susu sekarang akan terasa membazir jika mahu gunakan dengan kuantiti yang banyak. Tidak berbaloi. Jadi, minyak merupakan pilihan yang tepat. Hal ini kerana, minyak dapat mencairkan capsaicin yang terkandung dalam cili tersebut. Seterusnya, bilaslah dengan air sabun.

3. Menggunakan cuka

Capsaicin ini bersifat alkali, jadi kena gunakan satu bahan yang bersifat asid untuk meneutralkannya semula. Jadi contoh bahan asid yang boleh didapati adalah seperti, cuka, sos tomato, perahan jus limau dan air asam

4. Menggunakan alkohol

Alkohol juga boleh digunakan untuk pensanitasi tangan jika terasa pijar. Kena gunakan dengan kuantiti yang banyak.

5. Menggunakan losyen

Setiap losyen yang terjual mempunyai kandungan minyak di dalamnya. Jadi, minyak yang terdapat di dalam losyen itulah dapat melarutkan capsaicin di tangan. Selepas memakai losyen, maka bilaslah dengan air sabun.

6. Menggunakan tuala, berus garam atau hampas kelapa.

Capsaicin juga dapat dihilangkan dengan geseran. Jadi, untuk menghilangkannya, maka gosoklah tangan anda dengan tuala, berus garam atau hampas kelapa. 


Sekian sahaja entri untuk kali ini. Semoga bermanfaat.

Tuesday, 18 January 2022

Kenali Jin Yang Teringin Masuk Ke Rumah Kita Waktu Maghrib


Waktu Maghrib adalah waktu yang sebaik-baiknya kita berada di dalam rumah. Jika anak-anak masih lagi bermain di luar rumah, ibu bapa perlulah memanggil anak-anak mereka supaya terus masuk ke dalam rumah. Pada waktu ini, alangkah baiknya jika kita bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib. Sudah mandi, memakai pakaian solat dengan bersih, menutup pintu dan tingkap supaya tiada makhluk halus yang datang ke rumah. 

Sesungguhnya pada waktu Maghrib, jin dan syaitan akan berkeliaran. Mereka cukup suka jika anak-anak muda leka bermain sehingga lalai dengan waktu solat. Lagi alpa, lagi bersoraklah mereka. Sudah bertambah lagi penghuni yang akan mereka heret ke neraka. Ini bertepatan dengan hadis nabi, 

Daripada sahabat Jabir radhiallahu’anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada menjelang maghrib maka tahanlah anak-anak kalian (di rumah), kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka biarkan mereka (jika ingin keluar). Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian walau sekadar dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu kalian.” 

(HR. Bukhari 3280, Muslim 2012).

Perkara ini telah pun dijelaskan oleh Imam Ibn Abd Bar yang mengatakan larangan untuk membuka pintu (perintah menutup pintu) apabila tibanya waktu malam. Imam Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kelebihan menutup pintu pada waktu Maghrib ini mempunyai maslahah mahupun di dunia dan di akhirat. Rasulullah telah mengajarkan adab-adab ini kepada kita supaya terlindung dengan kemudaratan syaitan. 

Hal ini juga sama dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini, bahawa sunnah menutup pintu apabila malam tiba. Antara hikmahnya anak-anak dilarang keluar ketika matahari terbenam adalah kerana syaitan pada waktu ini lebih aktif berbanding di siang hari kerana kegelapan menguatkan syaitan berbanding waktu lain seperti yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al- Asqalani. (Lihat Fath al-Bari, 31/6). 

Kenali Kenali Jin Yang Teringin Masuk Ke Rumah Kita Waktu Maghrib

Jin yang teringin untuk masuk ke rumah kita pada waktu Maghrib adalah dikenali sebagai Ummu Sibyan. Fizikal Ummu Sibyan adalah seperti cicak. Ia merangkak dan berjalan di atas dinding serta  menakutkan bayi yang berumur dua tahun ke bawah sehingga menangis. Ummu Sibyan mempunyai mata yang besar sekaligus dapat membuatkan anak-anak kecil menjerit ketakutan. Dikatakan juga Ummu Sibyan ini dapat mengikat rahim wanita serta membunuh bayi di dalam kandungan. Jika berlakunya keguguran, diceritakan juga jin Ummu Sibyan ini akan masuk ke dalam perut wanita dan menendang janin tersebut. Akhirnya, rahim kembali kosong.




Tanda-tanda bayi atau kanak-kanak diganggu oleh Ummu Sibyan

1. Bayi menangis melalak (mata memandang ke atas)

2. Jatuh seakan-akan ditolak

3. Bermimpi

4. Demam panas selepas Asar sehinggalah sebelum Subuh

Tanda-tanda wanita hamil diganggu oleh Ummu Sibyan

1. Rasa sesak dada

2. Fikiran serabut

3. Sakit pada bahagian tulang belakang

4. Bermimpi buruk ketika tidur

Cara mengelakkan dari diganggu oleh Ummu Sibyan




1. Jika bayi menangis sambil memandang ke atas, ambil bayi dan cuba meniarapkannya sambil berzikir. Bacalah tiga surah (Surah 3 Qul) dan ayat Kursi sambil menyapu di ubun-ubunnya. Jangan membiarkan bayi terus memandang ke atas.

2. Jangan mengangkat baju di jemuran pada waktu malam jika baju masih belum kering, biarkan sahaja. 




3. Tutup pintu dan tingkap serapat-rapat yang mungkin pada waktu Maghrib kerana jin ini hanya masuk melalui laluan ini sahaja. 

4. Jangan berkeliaran di luar rumah pada waktu Maghrib

5. Bekas-bekas makanan perlulah ditutup dan disebut dengan nama Allah

Setakat ini sahaja entri untuk kali ini. Moga bermanfaat. 

Cara Mengenal Daun Ketumbar dan Daun Sup

Seringkali kita akan keliru bagaimana untuk mengenalpasti daun ketumbar dan juga daun sup. Hal ini kerana, kedua-dua daun ini adalah seakan-akan sama. Tidak pelik kita sendiri pun pernah mengalami tersalah beli, betul tak? Baiklah, di sini aku akan kongsikan bagaimana cara untuk mengenal daun ketumbar dan daun sup dengan mudah. 


1. PERHATIKAN LABEL/ NAMA DI PASAR RAYA

Cuba kita perhatikan label atau nama daun-daun ini di pasar raya untuk mengelakkan kita tersalah beli. Ini adalah tips yang paling mudah bagi sesiapa yang masih lagi keliru antara daun ketumbar dan daun sup. Sebenarnya kita tahu daun mana yang kita nak beli, tetapi bila sudah sampai di pasar raya kita akan jadi keliru sekejap. Betul ke daun ini? Persoalan ini yang bermain-main di fikiran. 

Oleh itu, kita perlulah mengetahui nama saintifik kedua-dua daun ini kerana kadangkala sesetengah pasaraya mereka tidak meletakkan nama biasa bagi sebahagian daun. Daun ketumbar dan daun sup juga mempunyai nama-nama yang lain. Antaranya ialah:

Daun ketumbar: Chinese Celery atau Celery Leaves

Daun sup: Coriander Leaves

Cuma jaranglah sekali nama-nama ini digunapakai bagi mengelakkan kekeliruan bagi sesetengah pelanggan. Selalunya nama atau label ini akan letak terus daun ketumbar dan daun sup bagi memudahkan pengguna.



2. BAU

Cara untuk kita kenalpasti daun ketumbar adalah daun sup dengan lebih mudah adalah cuba kita hidu aromanya. Aroma kedua-duanya kelihatan sedikit berbeza meskipun nampak sama. Berikut adalah cara bagaimana untuk mengenalpasti daun ketumbar dan daun sup. 

Daun ketumbar: Baunya agak kuat dan sedikit tajam. Ada yang mengatakan baunya seperti bau kumbang yang membuatkan sesetengah orang berasa tak selesa. Namun, terdapat segelintir orang menyatakan baunya tidaklah menusuk hidung, sebaliknya berbau sitrus sekaligus membuatkan kita terbuka selera untuk makan. 

Daun sup: Baunya agak lembut ataupun mild. Contoh yang paling senang, cuba kita hidu sup Melayu. Ha, macam itulah lebih kurang. Lembut dan tak menusuk hidung. 

3. BATANG & DAUN

Batang kedua-dua daun ini mempunyai sedikit perbezaan meskipun akarnya telah dibuang. 

Daun ketumbar: Batang agak pendek tetapi mempunyai daun yang lebih banyak bersaiz kecil

Daun sup: Batang lebih panjang, daunnya lebar tetapi sedikit, jarang-jarang.



4. AKAR

Kalaulah kita pergi ke pasaraya dan kita ternampak kedua-dua daun ini dijual dengan mengekalkan akarnya, maka pembelian kita akan menjadi lebih mudah. Sebenarnya akar daun ketumbar dengan daun sup mempunyai sedikit perbezaan ya. 

Daun ketumbar: Akarnya lebih besar dan seolah-olah seperti akar tunjang. 

Daun sup: Akarnya lebih kecil dan nampak agak serabut

Daun ketumbar


Daun sup


5. KEGUNAAN DALAM MASAKAN

Daun ketumbar: Biasanya, daun ketumbar ini banyak digunakan dalam masakan Thai, jaranglah digunakan dalam masakan Melayu. Misalnya Tomyam Thai, kerabu atau Nasi Ayam Thai. Lagi banyak, lagi sedap. 

Daun Sup: Biasanya daun sup ini digunakan dalam masakan Melayu seperti sup ayam, mi goreng dan nasi goreng. Aromanya lebih lazat dan tidaklah berbau kuat jika diletakkan dalam masakan. 


Setakat ini sahaja entri kali ini, moga bermanfaat.

Popular Posts