Showing posts with label usrah. Show all posts
Showing posts with label usrah. Show all posts

Wednesday, 1 January 2025

Puasa Rejab

Terdapat empat bulan yang dimuliakan di sisi Allah SWT agar umat Islam dapat mengambil manfaat yang ada padanya. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram.”
(Surah at-Taubah: 36)

KENAPA BULAN INI MULIA DI SISI ALLAH?
Imam Fakhruddin ar-Razi menuliskan di dalam kitabnya:
وَمَعْنَى الْحَرَمِ: أَنّ الْمَعْصِيَةَ فِيْهَا أَشَدُّ عِقَاباً، وَالطَّاعَةُ فِيْهَا أَكْثَرُ ثَوَاباً
Maksudnya: “Maksud ‘haram’ adalah sesungguhnya kemaksiatan di bulan-bulan itu memperoleh seksa yang lebih berat dan ketaatan di bulan-bulan tersebut akan mendapat pahala yang lebih banyak.”
(Kitab Tafsir al-Fakhrur Razi)

Selain itu, Syeikh Wahbah az-Zuhaili turut menjelaskan dalam kitab Tafsir al-Munir fil Aqidati was Syari’ati wal Manhaji:

“Selain dikenali sebagai bulan mulia dan agung, empat bulan di atas memiliki nilai-nilai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Maka, siapa yang melakukan ketaatan atau kemaksiatan pada bulan tersebut, balasannya lebih banyak daripada bulan yang lain.”
Empat bulan haram yang dimaksudkan adalah:
(1) Zulkaedah
(2) Zulhijjah
(3) Muharram
(4) Rejab

Ia berdasarkan hadis daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.
(HR al-Bukhari, hadis sahih)

DI SEBALIK PENAMAAN BULAN REJAB
Imam Al-Hafiz Abu Hasan bin Muhammad Hasan al-Khalal menukilkan dalam kitab Fadhailu Syahri Rajab:
قِيْلَ لِرَسُوْلِ اللهِ لِمَ سُمِيَ رَجَبَ؟ قَالَ: لأنَّهُ يُتَرَجَّبُ فِيهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ لِشَعْبَانَ وَرَمَضَانَ
Maksudnya: “Dikatakan kepada Rasulullah, “Mengapa ia dinamakan Rejab?” Rasulullah menjawab: Kerana sungguh banyak di dalamnya kebaikan untuk bulan Sya’ban dan Ramadhan.”

Imam al-Manawi al-Qahiri menjelaskan lebih luas tentang maksud hadis di atas dalam kitabnya, Faidhul Qadir Syarh Jami’us Soghir:
فَالْمَعْنَى أَنْ يُهَيَّئَ فِيْهِ خَيْرٌ كَثِيْرٌ عَظِيْمٌ لِلْمُتَعَبِّدِيْنَ فِي شَعْبَانَ وَرَمَضَانَ
Maksudnya: “Maka makna (hadis tersebut), adalah dengan disediakan di dalamnya suatu kebaikan yang banyak dan agung bagi mereka beribadah (sebagai persediaan memasuki) bulan Sya’ban dan Ramadhan.”

DOA SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI DI MALAM 1 REJAB 🤲🏻
إِلٰهِيْ تَعَرَّضَ لَكَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ الْمُتَعَرِّضُوْنَ وَقَصَدَكَ فِيْهِ الْقَاصِدُوْنَ وَأَمَّلَ فَضْلَكَ وَمَعْرُوْفَكَ الطَّالِبُوْنَ، وَلَكَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ نَفَحَاتٌ وَجَوَائِزُ وَعَطَايَا وَمَوَاهِبُ، تَمُنُّ بِهَا عَلَى مَنْ تَشَاءُ مِنْ عِبَادِكَ، وَتَمْنَعُهَا مِمَّنْ لَمْ تَسْبِقْ لَهُ الْعِنَايَةُ مِنْكَ وَهَا أَنَا عَبْدُكَ الْفَقِيْرُ إِلَيْكَ، اَلْمُؤَمِّلُ فَضْلَكَ وَمَعْرُوْفَكَ، فَإِنْ كُنْتَ يَامَوْلَايَ تَفَضَّلْتَ فِيْ هٰذِهِ اللَّيْلَةِ عَلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ وَجُدْتَ عَلَيْهِ بِعَائِدَةٍ مِنْ عَطْفِكَ، فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَاٰلِهِ، وَجُدْ عَلَيَّ بِطَوْلِكَ وَمَعْرُوْفِكَ يَا رَبَّ الْعَــالَمِيْنَ
Maksudnya: "Ya Tuhanku, pada malam ini orang-orang yang berpaling (dari rahmat-Mu) telah berpaling, orang-orang yang mempunyai tujuan telah datang (kepada-Mu), dan para pencari telah mengharap anugerah dan kebaikan-Mu. Pada malam ini, Engkau mempunyai tiupan rahmat, piagam-piagam penghargaan, hadiah macam pemberian dan anugerah. Engkau berikan semua itu terhadap hamba-hamba-Mu yang Engkau kehendaki. Dan Engkau tidak memberikannya terhadap orang yang tidak memperoleh pertolongan dari-Mu. (Kitab Al-Ghunyah, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

AMALAN YANG BOLEH DILAKUKAN SEMASA BULAN REJAB
1. Perbanyakkan dan perbetulkan bacaan al-Quran.
2. Perbanyakkan puasa sunat seperti hari Isnin, Khamis dan Hari Putih.
3. Menghidupkan solat malam.
4. Perbanyakkan berdoa, berzikir dan bersedekah.
5. Menghabiskan puasa ganti bagi wanita yang belum habis menggantikan puasa.
6. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan larangan Allah SWT kerana balasan daripada maksiat juga digandakan.
Semoga bermanfaat buat semua.
Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Thursday, 19 December 2024

Boleh ke guna air banjir untuk berwuduk dan mandi wajib?

 



“Ustazah, setiap kali musim banjir, saya pasti akan tertanya-tanya bagaimana dengan status wuduk dan mandi wajib saya. Adakah sah jika saya hanya menggunakan air banjir?”


Soalan ini menjengah di ruang inbox saya, terdetik untuk menjawab.  

.

.

Allahu Akbar, inilah perkara yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan saudara kita yang terlibat dengan musibah banjir. Sebelum menjawab persoalan ini, mari kita sama-sama mendoakan kesejahteraan buat semua sahabat-sahabat yang ditimpa banjir saat ini agar sentiasa mendapat perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT. 🤲🏻


Daripada Anas bin Malik, dia berkata, “Nabi Muhammad SAW ketika mendapat masalah yang berat, beliau membaca:


 يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ


Maksudnya: ”Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan).”

(HR Tirmidzi, hadis hasan)


BERWUDUK MENGGUNAKAN AIR BANJIR


Berwuduk adalah perbuatan membasuh dan menyapu beberapa anggota badan dengan air mutlak secara tertib. Tujuannya adalah untuk membolehkan seseorang untuk menunaikan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan sebagainya. 

 

Dalam situasi banjir, hendaklah seseorang mencari air mutlak (air yang suci) terlebih dahulu untuk berwuduk. Sekiranya tidak ketemui, maka DIBOLEHKAN baginya menggunakan air banjir untuk berwuduk dan bersuci. 


Ini berdasarkan kenyataan yang disebut oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili di dalam Al-Mu’tamad fi Fiqh al Syafie iaitu:


“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan. Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan”.


Jika seseorang itu meyakini bahawa air banjir itu telah bercampur dengan najis yang banyak, maka ia tidak boleh digunakan lagi untuk berwuduk. Akan tetapi, sekiranya ia hanya sangkaan ataupun keraguan semata-mata, maka ia tidak menggugat kesucian air banjir untuk berwuduk. Ini berdasarkan kaedah


اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ


Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Hukum ini juga digunapakai untuk bersuci dari HADAS BESAR/ MANDI WAJIB bagi seseorang yang ketiadaan air mutlaq dan ingin menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci. 


BERTAYAMMUM KETIKA KETIADAAN AIR BERSIH ATAU TIDAK MEYAKINI KEBERSIHAN AIR BANJIR


Sekiranya sesuatu tempat terputus bekalan air bersih atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja atau tidak meyakini kesucian air banjir, maka DIBOLEHKAN bagi seseorang itu untuk bertayamum sebagai alat ganti bagi bersuci dari hadas kecil mahupun besar. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang iaitu : 


الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ


Maksudnya :Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan


Tayamum juga DIBOLEHKAN bagi mangsa banjir yang sakit dan tidak boleh menggunakan air. Ini merupakan satu keringanan yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya seperti di dalam firman Allah SWT :

 

 يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ


Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)


Sekiranya sukar bagi mangsa banjir untuk mendapatkan debu tanah yang suci, maka DIHARUSKAN untuk menepuk debu tanah yang terdapat di dinding, cermin, meja atau mana-mana tempat yang dirasakan ada debu untuk bertayammum. 


CARA-CARA BERTAYAMMUM:


1) Menepuk kedua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka.


2) Berniat ketika memindahkan debu tanah sehingga menyentuh muka. Lafaz niat bertayammum adalah seperti berikut::


نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لِاسْتِبَاحَةِ الصَّلَاةِ للهِ تَعَالَى


Maksudnya: Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah

Ta’ala .


3) Menyapu keseluruhan muka.


4) Menepuk kedua tapak tangan pada debu tanah untuk kali kedua bagi menyapu tangan .(Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu dari debu tanah yang telah digunakan).


5) Menyapu tangan kanan dari belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jaritangan kiri

dari hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku.


6) Menyapu tangan kanan dari siku hingga ke hujung ibu jari.


7) Menyapu tangan kiri dari belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan

(selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.


8 ) Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.


9) Tertib. 

* Sunat menipiskan debu tanah pada tapak tangan sebelum disapukan ke anggota tayammum. 

* Bagi yang memakai cincin, jam tangan atau apa-apa sahaja di bahagian tangan perlulah menanggalkannya terlebih dahulu agar debu tidak terhalang dan sampai ke kulit. 


KESIMPULAN


1) DIBOLEHKAN bagi seseorang menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci dari hadas kecil mahupun besar sekiranya tiada air mutlaq atau air yang ada hanya cukup untuk keperluan tertentu.


2)  Jika tidak meyakini kesucian air banjir, maka DIBOLEHKAN baginya untuk bertayammum dengan menggunakan debu tanah yang suci.


3) Sah wuduk, mandi wajib atau beristinjak dengan air banjir walaupun keruh kerana ia adalah air mutlaq.  


RUJUKAN:


1. Maktabah Al-Bakri, Soal Jawab Agama, Taharah (Berwudhu Dengan Air Banjir).

2. Aplikasi FIBA (Fiqh Banjir), International Fatwa and Halal Centre, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan 

#SahabatHijrah

Solat

Pernah tak kita rasa solat jadi satu-satunya tempat kita nak lari? Bukan sebab nak lari dari tanggungjawab, tapi sebab kita tak mampu lagi simpan semua rasa berat dalam hati dan fikiran. 

Kadang terlalu banyak yang kita nak luahkan, kebimbangan yang mencengkam, rasa sedih yang tak terubat, lelah yang tak pernah reda, dan bila kita berdiri menghadap Allah ketika solat dan ketika di tikar sejadah, tiba-tiba semua beban tu terasa ringan, walaupun sekejap.

Allah beri kita waktu-waktu istimewa untuk berdoa, 


Di antara azan dan iqamat, 

Selepas mengambil wuduk, 

Dalam sujud, sebelum salam. 


Tapi sejauh mana kita benar-benar hargai waktu-waktu tersebut? 😢

Kita tahu itu waktu Mustajab, tapi adakah kita manfaatkan? atau kita biarkan ia berlalu begitu saja?


Manusia. Kadang-kadang, kita lebih mudah mengeluh depan manusia. Kita minta mereka faham, minta mereka dengar, tapi hakikatnya manusia terbatas. Mereka takkan selalu ada, takkan selalu faham. Malah, ada yang akan kata,

"Kau ni, asyik mengeluh. Bila nak yakin? Bila nak bangkit?"

Dan kita pun senyap, simpan semuanya dalam hati.


Tapi Allah? Allah takkan pernah ‘judge’ kita.

Allah suka kita mengadu. Allah suka kita datang kepadaNya dengan hati penuh rasa. Keluhan kita kepada Allah bukan tanda kita tak redha, tapi tanda kita percaya, percaya hanya Dia tempat kita pulangkan segalanya. Allah tak pernah bosan mendengar. Allah tak pernah tutup pintuNya, walaupun kita seringkali lupa mengetuknya.


Adakah kita terlalu sombong untuk meminta?

Kadang-kadang, bila kita berjalan pun kita mampu mengadu pada Allah,

"Ya Allah, tolonglah aku. Ya Allah, permudahkanlah urusan aku."

Kalau sambil berjalan pun kita boleh berbicara dengan Allah, apatah lagi selepas solat? Itulah waktu istimewa. Waktu yang sepatutnya kita nanti-nantikan. Sebab terlalu banyak yang kita nak minta, terlalu banyak yang kita nak luah. Tapi… sering kali kita biarkan ia berlalu begitu saja.

Allah berfirman:

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا

Maksudnya: "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong." (Surah Luqman: 18)


Bukan sekadar sombong dengan manusia, tapi jangan sombong dengan Allah. Jangan biarkan ego kita menjauhkan kita daripada rahmatNya. 


Solat itu bukan beban, ia peluang. Ia ruang untuk kita lepaskan semuanya, untuk kita kembali jadi kecil di hadapan Dia yang Maha Besar.

Jadi, bila azan berkumandang, jangan pandang ia hanya sebagai panggilan. Pandang ia sebagai jemputan istimewa daripada Allah.


Jemputan untuk meluah, meminta, dan menyerahkan segalanya. Kerana akhirnya, hanya Allah yang benar-benar mendengar.


Menurut hadis Nabi SAW, golongan yang mempersiapkan diri sebelum masuknya waktu solat adalah golongan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT, kerana seakan-akan dirindui untuk bertemu dengan Allah di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat, SubhanAllah.🤲


Rasulullah SAW bersabda:

المَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ، مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya Allah ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”

(HR al-Tirmizi, hadis hasan )


Allah takkan pernah bosan. Apa pun yang kita rasa, pulangkan kepada Allah. Di situlah kita akan temui damai yang sebenarnya. 🤲🌷

Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun 

#SahabatHijrah

Wednesday, 20 September 2023

Peristiwa 20 September 1187


Hari ini 836 tahun yang lalu, Salahuddin al-Ayyubi mula mengepung Baitulmaqdis.

Kekalahan besar di Hattin pada 4 Julai menyebabkan kuasa Kristian ketandusan tentera untuk mempertahankan kota-kotanya sekitar Levant khususnya al-Quds. Ini dimanfaatkan Sultan Ayyubiyah, Salahuddin untuk menakluk satu persatu kota terbabit.

Dari Tibnin, angkatan Ayyubiyah menawan Ramla, Ibelin (Yibna), Darum (Dier al-Balah) & Ashkelon dengan mudah tanpa perlu bertempur. Kemudian, Salahuddin menumpukan seluruh kekuatannya untuk menakluk kembali kota suci Baitulmaqdis.

Beliau bertemu dengan perwakilan al-Quds di luar Ashkelon untuk berunding, namun mereka tetap enggan menyerah walau apa pun ditawarkan. Maka Salahuddin mempersiap angkatannya & mula mengepung al-Quds pada 20 September 1187.

Serangan selama beberapa hari gagal memecah masuk pertahanan kota, sehingga Salahuddin menyedari kesilapan taktikalnya: membariskan tentera pada kedudukan berdepan matahari terbit yang menyilaukan & mengganggu pandangan mereka.

Apabila posisi diubah ke timur pada 25 September, serangan Ayyubiyah lebih memberi impak & hampir berjaya memecah masuk benteng pertahanan kota sebelum Balian Ibelin, pemimpin pertahanan Kristian al-Quds, keluar untuk berunding.

Persetujuan dicapai, orang Kristian dijanjikan keselamatan untuk berhijrah ke Tyre (pangkalan Kristian yang masih tinggal di Levant) namun tentera Salib dijadikan tawanan sebagai hamba atau membayar tebusan untuk membebaskan diri.

Salahuddin memasuki kota al-Quds tanggal 2 Oktober yang jatuh pada 27 Rejab, tarikh ulangtahun peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW. Masjid al-Aqsa dibersihkan & salib-salib bersama artifak-artifak Kristian lain dialihkan.

Mimbar yang dibuat atas perintah Nur ad-Din (Emir Syria Empayar Zengid yang juga guru Salahuddin yang bercita-cita untuk menawan kota itu namun tak kesampaian) didirikan, permaidani dihampar & wangian dipercikkan ke segenap sudut masjid itu.

Selepas 88 tahun, azan berkumandang semula & solat Jumaat didirikan kembali di dalam al-Aqsa.

Sumber: World History Encyclopedia *gambar daripada sedutan filem 'Kingdom of Heaven' edaran 20th Century Fox

#PeristiwaHariIni

Pengertian Redha dalam Tasawuf

 😔😣😢😭


Penat fizikal, penat mental, penat emosi. Penat semua.


Siapa yang rasa hidup dia kelam kabut?


Siapa yang rasa hidup dia penat buat macam-macam?


Percayalah sebaik sahaja kita mati, kita akan minta sungguh-sungguh kepada ALLAH untuk kembali ke dunia. 


Apabila kita duduk dalam kubur kelak, kita boleh buat apa dalam kubur?


Dalam kubur tak boleh buat apa-apa dah.


Nak masak? 


Tak boleh.


Nak mengemas rumah, nak jemur kain, nak lipat kain?


Tak boleh.


Nak ke sana ke mari, nak buat itu nak buat ini?


Kita tak boleh buat apa-apa dalam kubur.


Agak-agak boring tak nak tunggu dibangkitkan di Mahsyar?


Berapa tahun kita nak duduk dalam kubur?


Berpuluh tahun, beribu tahun, beratus tahun mungkin.


Dalam kubur nanti kita boring tak?


Kalau kita berada di dalam Taman Syurga ALLAH, Insya-ALLAH kita tak boring.


Tapi kalau dalam keadaan di jurang api Neraka, hidup dalam keadaan terseksa maka sangat dahsyat. 


Ramai mana manusia selepas sesaat masuk kubur, lepas sesaat saja ditarik nafasnya, merayu-rayu meminta untuk dikembalikan ke dunia mahu menyibukkan diri dengan amal soleh dan beribadah. Merayu-rayu meminta-minta dengan ALLAH untuk kembali ke dunia.


"Ya ALLAH, aku nak sibukkan diriku menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak. Aku tak nak sibukkan diriku dengan perkara yang lagho melalui handphone."


"Ya ALLAH, kembalikan aku ke dunia. Aku nak sibukkan diriku untuk memperbaiki diriku menjadi isteri yang terbaik buat suamiku. Menjadi ibu yang terbaik. Menjadi ummat Nabi Muhammad SAW yang terbaik. Menjadi seorang anak yang terbaik buat ibu dan ayahku. Ya ALLAH, aku nak sibukkan diriku untuk buat sesuatu yang terbaik untuk agama-MU."


Allahu Akhbar.


Selepas sesaat kita ditarik nyawa, ketakutan kita dihantar ke tempat yang paling gelap, paling sempit dan paling sunyi. Di tempat yang benar-benar kita keseorangan. Kita nak ramai manusia di sekeliling kita.


Sekarang kita di kelilingi manusia yang ramai. Ada yang kita tak nak jumpa. Ada yang kita jumpa, kita rasa serabut. Ada suami. Ada isteri. Ada anak ramai. Ada adik beradik. Ramainya manusia yang kita nak kena urus. Tapi dalam kubur nanti kita akan bertempik untuk kembali kepada kehidupan bersama dengan manusia. Allahu Akhbar. 


Nanti dalam kubur dah tak sibuk. Dalam kubur semua sudah terhenti. 


Motivasi diri.


Tak apalah kita sibuk kat dunia ni. Tak apalah penat. Tak apalah kelam kabut. 


Tengok kita kelam kabut dengan perkara apa?


Urusan rumahtangga? 

Ok lah.


Kelam kabut dengan urusan kerja?

Ok lah.


Ok lah kita sibuk dan kelam kabut dengan perkara kebaikan.


Sebab ramai di luar sana yang kelam kabut dengan perkara maksiat. Ramai yang sibuk dengan handphone tak habis-habis nak buat video itu video ini tetapi video yang menjerumuskan maksiat. Ramai yang sibuk dengan handphone tak habis-habis bergosip, tak habis-habis menjatuhkan orang dan menghina.


Jadi sibuk, tak ada masalah. Kelam kabut, tak ada masalah. Penat, tak ada masalah.


Tapi kita tengok kelam kabut, sibuk dan penat kita tu sebenarnya sedang menuju ke arah mana?


Jika dekat dengan ALLAH dan dekat dengan Syurga maka ok. Teruskan. 


~~~~~~~~~~~~~~


Pengertian redho dalam Tasawwuf ada 3. 


1. Redho dengan segala perintah ALLAH.


2. Redho dengan segala larangan ALLAH.


3. Redho dengan segala ketetapan ALLAH sama ada ketetapan yang baik ataupun ketetapan yang buruk. Redho dengan takdir ALLAH.


Apa maksud redho dengan perintah ALLAH?


Orang yang redho dengan perintah ALLAH maksudnya dia tak protes perintah ALLAH. Terbukti pada dirinya, dia mentaati perintah ALLAH. Itu maksud redho pada perintah ALLAH.


Kalaulah anak kita masuk sekolah , dia tak nak pakai baju sekolah. Dia pun pergi sekolah pakai baju biasa. Anak ini akan dipanggil oleh Guru Disiplin. 


"Kenapa kamu pakai baju biasa?"


"Saya....  Ermmm ... "


"Kamu suka tak masuk sekolah ni?"


"Saya suka tapi saya tak suka pakai baju sekolah. Saya tak setuju pakai baju sekolah."


"Kalau kamu tak setuju, kalau kamu tak nak pakai baju sekolah, maksudnya kamu tak boleh terima.  Seolahnya kamu tak redho dengan peraturan sekolah ni. Kamu keluar. Kamu keluar dari sekolah ni. Kamu pergi ke sekolah lain."


Sebab itu ada riwayat menyebutkan tentang satu hadis yang berbunyi,


"Barangsiapa yang tidak redho dengan ketetapan-KU maka carilah Tuhan selain daripada-KU."


Analoginya Guru Disiplin bercakap tadi kalau kamu tak redho dengan peraturan sekolah ni maka keluar dari sekolah ni. Cari sekolah lain yang boleh pakai baju bebas. 


Ramai mana manusia ni dia tak sebut direct,


"Saya tak redholah dengan peraturan pemakaian Islam ni."


Mulut tak cakap,  tetapi perbuatannya, apa yang dia pakai itu menunjukkan dia tak setuju dengan peraturan yang ALLAH telah tetapkan. 


Sebab itulah penting sangat kita jadi hamba ALLAH yang redho. Redho dengan perintah ALLAH. Redho dengan larangan ALLAH. 


Yang ALLAH larang, kita tak boleh buat walaupun kita suka. Kita kena redho. Kita tak boleh protes. Apapun hujah yang datang dengan sesuatu yang ALLAH larang maka kita kena tolak.


Ramai yang tak redho dengan takdir. 


Dah elok dah dapat suami. Suami tu dah baik dah pun. Bukan suami yang zalim. Bukan suami yang tidak bertanggungjawab. Cuma dia nak lebih. Jadi dia tak redho dengan nikmat yang ALLAH bagi. Sebab kurang syukur. Bukan sebab keburukan tetapi sebab kurang syukur. 


Order makanan contohnya. Bila sampai, tak kena dengan selera tekak. Dia bukan diuji tak ada makan tapi dia diuji dengan ada makanan. 


Sebab itu nak redho ni pun perlu ilmu. 


Ada orang dapat nikmat tapi tak redho dengan nikmat dan nikmat itu jadi azab. Dalam nikmat,  ramai mana ALLAH mengazab hamba-NYA kerana nikmat. ALLAH menghukum hamba-NYA kerana nikmat. 


لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَاَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ اِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ


"Barangsiapa yang bersyukur maka pasti Kami akan tambahkan nikmat ke atasnya. Dan barangsiapa yang kufur dengan nikmat-KU sesungguhnya azab-KU amat pedih."


ALLAH bukan sebut barangsiapa yang tidak ada nikmat. 


Ini adalah satu peringatan dan amaran kepada orang yang ALLAH beri nikmat.


Semua orang ada nikmat. 


Kalau tak ada nikmat suami, ada nikmat ibu dan ayah. Ada nikmat kawan-kawan. 


Yang berkahwin, ada nikmat pasangan. Ada nikmat anak-anak.


Ada nikmat rumah. Ada nikmat kenderaan. Ada nikmat makan. 


Peringatan kepada orang yang diberi nikmat, jika kufur dengan nikmat ALLAH, azab ALLAH amat pedih. Allahu Akhbar.


~~~~~~~~~~~~~~~


Kita menzalimi diri sendiri bukan dengan memukul diri sendiri sampai berdarah tetapi kita menzalimi diri kita dengan kita melakukan dosa, melakukan maksiat, menangguhkan taubat dan menangguhkan hijrah.


Apa kesannya?


Dosa, dosa dan dosa. 


Dan kesan paling dahsyat, kita sendiri yang mencampakkan diri sendiri ke dalam Neraka.


Sebab itu ayat Laa Ilaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minaz Zholimiinn,


"Tiada Tuhan melainkan-MU Ya ALLAH. Aku melakukan kezaliman."


Adalah zalim bila kita buat sesuatu yang mendatangkan kemarahan ALLAH. Kemarahan ALLAH datang dengan pakej catatan dosa. Jika dahsyat himpunan dosa dan tak sempat bertaubat maka datang dengan pakej dosa dan Neraka. Tidak ada yang lebih zalim melainkan kita mencampakkan diri kita kepada kejahatan dan keburukan.


Sebab itu ALLAH berfirman ,


وَلَا تُلْقُوْا بِاَيْدِيْكُمْ اِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ


"Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kecelakaan."


~~~~~~~~~~~~~~


( Antara ceramah dan tazkirah Ustazah Asma Harun  dalam Kuliah Kitab Riyadhus Solihin Siri 177 pagi tadi. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️ )


Wallahua'lam.

Semoga bermanfaat.


سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ


لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

#yusnizayaziz 

#PAMM 

12 Muharram 1444H

10 Ogos 2022


Kredit: Ustazah Asma Harun.

Tuesday, 17 January 2023

Fiqh Solat Jamak dan Qasar


Assalamualaikum. Kali ini aku nak kongsikan tentang fiqh mengenai Solat Jamak dan Qasar. 

Bila dibolehkan Jamak & Qasar?

Solat Qasar dan Jamak dilakukan apabila bermulanya perjalanan dengan sekira-kira melepasi rumah-rumah terakhir dalam kampung yang didiaminya. Dalilnya ialah firman Allah Taala.


وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُواْ مِنَ الصَّلاَةِ 

"Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi maka tiada kesalahan ke atas kamu untuk menqasarkan solat". 

(Surah al-Nisa': 101)


Dalam ayat ini Allah jadikan keharusan "qasar" (memendekkan) solat dengan syarat bermula perjalanan.

Maka, tidak boleh mengerjakan solat jamak dan qasar ketika masih lagi berada di rumah walaupun telah berazam dan bertekad untuk bermusafir.


Berapakah jarak perjalanan yang dibolehkan Qasar Solat?


1. Para Fuqaha berbeza pendapat dalam masalah ini. Majoriti Fuqaha berpandangan jaraknya ialah 4 "burud" ( kata jamak bagi "barid ) bersamaan dengan 16 "farsakh" bersamaan 48 "mil". 1 barid bersamaan 4 farsakh, 1 farsakh bersamaan 3 "mil". 


2. Dalilnya ialah Athar Sahih riwayat Baihaqi dan disebut sebagai ulasan dalam Sahih Bukhari

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ، وَعَبْدَ اللهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ كَانَا يُصَلِّيَانِ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ

"Bahawa Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Abbas (r.a) kedua-duanya mengerjakan solat 2 rakaat, 2 rakaat dan berbuka puasa pada jarak 4 burud ke atas"


3. Begitu juga Athar yang Dhaif daripada Abdullah bin Abbas (r.a) katanya; 

يا أهلَ مَكَّةَ، لا تَقْصُروا في أقلَّ مِن أربعةِ بُرُد

"Wahai penduduk Mekah. Jangan qasarkan solat pada kurang daripada 4 burud"


4. Fuqaha kontemporari berbeza pula dalam pengiraan kadar "mil" (mile atau batu). Kebanyakannya berpegang pada kadar 1.848 meter menurut kadar "mil hasyimi". Maka 48 "mil" bersamaan 88.7 km. Jabatan Fatwa Mesir pula berpegang 48 mil hasyimi pada kadar 83.5 km.


5. Kebanyakan ulamak terkemudian mazhab Syafie berpegang pada kadar 1 mil bersamaan 3500 hasta. Kajian terkini oleh Dr Muhammad Najmuddin al-Kurdi dalam karya beliau "Ukuran-Ukuran Syar'ie" bahawa 1 hasta bersamaan 48 cm. Justeru, 48 mil x 3500 hasta x 48 cm bersamaan 80.64 km. Kiraan ini dipegang oleh Jabatan Fatwa Jordan. 


6. Semua kiraan jarak yang menjadi khilaf Ulamak ini bersifat jarak anggaran sahaja bukan jarak yang tepat. Maka kita boleh mengambil anggaran jarak untuk Qasar Solat antara kadar 81 km hingga 88 km.


7. Sebahagian kecil Fuqaha pula tidak meletakkan jarak untuk Qasar. Mereka berpegang pada Uruf setempat kadar jarak yang dianggap sebagai musafir dan berjalan. 


8. Antara yang berpegang dengan pendapat ini sebahagian Ulamak Hambali seperti Ibnu Qudamah, Ibnu Taymiyah, Ibnu Qayyim dan juga Syaukani. Di kalangan ulamak kontemporari pula ialah Syanqiti dan Albaani.


9. Dalilnya ialah Hadis Abdullah bin Umar (r.a) katanya:

إنِّي لأُسافِرُ الساعةَ من النَّهارِ فأَقْصُر

"Sesungguhnya saya pasti bermusafir suatu ketika daripada siang lalu saya qasarkan (solat). 

(Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dan disahihkan isnadnya oleh Ibnu Hajar al-Asqalani). 


Sekian.


Kredit: Dr Khairuddin Takiri

Ahad 8.1.2023


Monday, 16 January 2023

Kedudukan Solat Berjemaah di Rumah



 "SAYA KELIRU DENGAN KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM KETIKA SOLAT DI RUMAH, BOLEH USTAZAH JELASKAN?"


Semalam ketika di masjid, ada seorang sahabat perempuan menanyakan soalan “Ustazah, haritu saya mengimami solat anak-anak perempuan saya kerana suami saya tiada di rumah, cuma saya masih keliru sebenarnya tentang susunan saf yang betul, adakah dibaris yang sama atau seperti jemaah lelaki seperti biasa?” 


Baik, saya faham kadang-kadang kita sendiri terkeliru dengan kedudukan imam dan makmum yang sebenar, lagi-lagi kalau melibatkan wanita atau jemaah dalam jumlah yang kecil sebab sudah jadi kebiasaan bagi kita apabila solat di masjid, akan ada langsir pemisah antara lelaki dan perempuan, hanya tinggal solat . Berkaitan dengan persoalan ini, insyaAllah saya cuba jelaskan sebaiknya.


Jawapan kepada soalan tersebut ialah jika jemaah  yang diimami oleh perempuan, jemaah perempuan hendaklah berdiri di belakang imam pada kadar setapak dan imam wanita itu perlu berada di tengah-tengah jemaah.


SUSUNAN SAF MENGIKUT KEUTAMAAN


🔶 Imam

🔶 Makmum Lelaki Dewasa

🔶 Kanak-kanak Lelaki

🔶 Perempuan Dewasa

🔶 Kanak-kanak Perempuan


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: 


خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا


Maksudnya:“Sebaik-baiknya barisan saf lelaki-lelaki adalah awalnya dan seburuk-buruknya adalah yang terakhir. Sebaik-baik barisan saf perempuan adalah di akhir dan seburuk-buruknya adalah diawalnya."

(HR Muslim, hadis sahih)


Di dalam hadis ini, ia menjelaskan bahawa kedudukan yang paling baik untuk lelaki ketika solat jemaah adalah di saf hadapan dan yang paling buruk adalah pada saf terakhir. Bagi wanita pula, saf terbaik bagi mereka adalah yang terakhir jika tiada tabir pembatas antara mereka dengan bahagian solat lelaki bagi mengelakkan fitnah. Namun  jika terdapat tabir pembatas antara saf lelaki dan wanita, maka saf terbaik bagi wanita adalah saf pertama seperti saf lelaki kerana tabir pembatas itu dapat menghilangkan kekhuatiran terjadinya fitnah.


KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM LELAKI 


1. Sekiranya hanya SEORANG makmum lelaki, makmum perlulah berdiri di SEBELAH KANAN dan ke BELAKANG SEDIKIT dari kedudukan imam.


2. Sekiranya ada makmum yang baru datang, makmum yang bersebelahan imam perlulah undur setapak ke belakang dan merapatkan saf sesama mereka, imam tetap di tempatnya.


Daripada Jabir Bin Abdullah al-ansari RA: 


قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيُصَلِّيَ فَجِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَن يَمِينه ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ بيدينا جَمِيعًا فدفعنا حَتَّى أَقَمْنَا خَلفه


Maksudnya: "Rasulullah SAW berdiri untuk mengerjakan solat kemudian aku pun datang dan berdiri di samping kiri Baginda. Rasulullah SAW meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakhr, dia berdiri di sebelah kiri Baginda.Rasulullah SAW meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang baginda."

(HR Muslim, hadis sahih)


 3. Jika makmum ramai berdiri di belakang imam, maka PERLULAH diseimbangkan bilangan kanan dan kiri dengan MENGUTAMAKAN BAHAGIAN KANAN TERLEBIH DAHULU. Jika imam dan makmum berada di satu bahagian contohnya di kiri sahaja maka hukumnya adalah MAKRUH.


KEDUDUKAN SAF KANAK-KANAK LELAKI 


Hakikatnya para ulama’ tidak memisahkan kedudukan saf bagi kanak-kanak lelaki dengan saf lelaki dewasa sebagaimana yang difahami masyarakat kini, pandangan yang mengatakan bahawa kanak-kanak telah memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah adalah tidak benar. Walau bagaimanapun, dalam situasi ini, keutamaan hendaklah diberikan kepada orang yang lebih dewasa berbanding kanak-kanak, ini berdasarkan hadis daripada Nabi SAW iaitu:


Dari Abdullah bin Mas’ud Nabi SAW bersabda:


لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ


Maksudnya: "Hendaklah yang tepat di belakangku orang yang dewasa yang memiliki kecerdasan dan orang yang sudah berakal di antara kalian, kemudian orang yang sesudah mereka kemudian orang yang sesudah mereka."

(HR Muslim, hadis sahih)


Malahan ada riwayat lain dari Abu Malik al-Ash‘ari: 


 أَلَا أُحَدِّثُكُمْ بِصَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: أَقَامَ الصَّلَاةَ وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ


Maksudnya: "Mahukah aku ceritakan kepada kalian tentang solat Nabi SAW? Dia melanjutkan; Baginda SAW mendirikan solat dan Baginda  membariskan saf lelaki dewasa dan di belakang mereka kanak-kanak, lalu Baginda solat bersama mereka."

(HR Abu Daud, hadis hasan)


Syeikh Zakariyya Al- Ansari menukilkan dalam kitab beliau Asna al-Matalib fi Syarh Raudhu at-Talib menyatakan bahawa disunatkan atau mustahab untuk meletakkan kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa apabila saf dewasa tidak muat untuk mereka. Sekiranya masih boleh dimuatkan, kanak-kanak tersebut perlulah memenuhkan saf di saf makmum dewasa.


وَهَذَا كُلُّهُ (مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ) فَلَوْ خَالَفُوا صَحَّتْ صَلَاتُهُمْ مَعَ الْكَرَاهَةِ


Maksudnya: "Semuanya ini adalah mustahab(digalakkan), bukannya syarat. Sekiranya mereka menyalahi susunan saf ini, sah solat mereka itu tetapi makruh."


a. Kanak-kanak lelaki bersama seorang lelaki dewasa


Jika seorang lelaki dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki, kanak-kanak itu hendaklah berada bersebelahan makmum lelaki dewasa di belakang imam.


Dari Anas Bin Malik Nabi SAW bersabda:


 دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ فَقَالَ ‏ "‏ قُومُوا فَلأُصَلِّيَ بِكُمْ ‏"‏‏.‏ فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَالْيَتِيمُ مَعِي، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ


Maksudnya: "Nenek Anas bin Malik mengajak Rasulullah SAW untuk menikmati makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah SAW menjamah hidangan tersebut kemudian bersabda: Bangunlah, saya akan mengimamkan solat kalian. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskan air ke atasnya. Rasulullah SAW berdiri, diikuti seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek berada di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat."

(HR Bukhari, hadis sahih)


Imam an-Nawawi menyebut bahawa hadis ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai kedudukan di dalam saf. Jumhur ulama’ mazhab Syafiee berpegang kepada pandangan ini.


b.  Kanak-kanak lelaki berada dalam saf makmum lelaki dewasa yang ramai.


Kedudukan kanak-kanak lelaki di dalam saf dewasa yang ramai pula ialah dibolehkan untuk berada di mana-mana bahagian di saf pertama dan yang dibelakang imam hendaklah diberikan keutamaan kepada orang yang lebih dewasa kerana berperanan menegur imam jika imam lupa sedangkan tiada orang lain menyedarinya.


KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM WANITA


Posisi paling tepat jika seorang sahaja makmum wanita ialah dia perlu berada betul-betul di belakang imam, namun DIBOLEHKAN juga untuk berada di bahagian kiri imam. (Jarak tiga hasta)


Sekiranya jemaah makmum perempuan yang ramai, maka mereka perlu berdiri jauh dari imam sekurang-kurangnya tiga hasta.


KEDUDUKAN IMAM WANITA DAN MAKMUM WANITA


Untuk jemaah yang diimami oleh perempuan, kedudukan imam itu hendaklah berada di tengah-tengah jemaah perempuan pada kadar setapak di belakang imam. Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab beliau al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkenaan isu ini:


السُّنَّةُ أَنْ تَقِفَ إمَامَةُ النِّسَاءِ وَسْطَهُنَّ لِمَا رُوِيَ أَنَّ عَائِشَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ أَمَّتَا نِسَاءً فَقَامَتَا وَسْطَهُنَّ


Maksudnya: "Sunnahnya berdiri imam perempuan di tengah jemaah wanita seperti mana diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Ummu Salamah mengimamkan jemaah wanita dan beliau berdua berdiri di tengah- tengah jemaah."


Hikmah imam wanita berada di posisi tengah ialah kedudukan tersebut lebih tertutup ini disebut oleh Imam al-Mawardi di dalam Al-Hawi Kabir : 


فَالْأَوْلَى لِمَنْ أَمَّ مِنْهُنَّ أَنْ تَقِفَ وَسَطَهُنَّ، لِأَنَّ ذَلِكَ أَسْتَرُ لَهَا


Maksudnya: "Diutamakan bagi sesiapa menjadi imam daripada kalangan perempuan, untuk imam tersebut berada di tengah-tengah jemaah perempuan kerana ia lebih tertutup baginya."


Syeikh Sulaiman al Jamal di dalam kitab beliau Hasyiyah al-Jamal juga menyebut:


Dimaksudkan dengan berdiri di tengah-tengah makmum perempuan ialah agar imam tidak taqaddum iaitu berdiri di hadapan (seperti mana imam lelaki) dan bukan juga untuk berdiri selari  dengan makmum perempuan di kanan dan kirinya. Tetapi hendaklah imam ke hadapan sedikit supaya dapat membezakan antara imam dan makmum yang lain.


KESIMPULAN 


1. Susunan saf mengikut keutamaan : 


 a. Imam 

 b. Makmum lelaki dewasa

 c. Kanak-kanak lelaki

 d. Perempuan dewasa

 e. Kanak-kanak perempuan


2. Kedudukan imam lelaki dan makmum lelaki : 

Makmum seorang sahaja

🔶 Berdiri di sebelah kanan dan ke belakang sedikit dari imam


Makmum ramai 

🔶 Berdiri di belakang imam dan diseimbangkan kedudukan makmum kanan dahulu kemudian ke kiri, Makruh mengutamakan satu posisi sahaja (Contohnya berada di kiri/kanan sahaja)


3. Kedudukan kanak-kanak lelaki 

Ketika bersama seorang makmum lelaki dewasa

🔶 Berdiri di sebelah makmum dewasa secara bersebelahan di belakang imam


Ketika bersama makmum lelaki dewasa yang ramai

🔶Dibolehkan kanak-kanak berada di mana-mana bahagian di saf pertama kecuali betul-betul di belakang imam. Sekiranya di saf selain saf pertama, kanak-kanak lelaki itu boleh berdiri di mana-mana bahagian.


4.  Kedudukan imam lelaki dan makmum perempuan

     

 Makmum perempuan seorang sahaja, posisi paling tepat

 🔶 Berdiri betul-betul di belakang imam

  

Diharuskan 

 🔶 Berdiri di sebelah kiri imam


Makmum perempuan ramai 

 🔶 Makmum berdiri jauh di belakang imam (sekurang-kurangnya tiga hasta)


 5.   Kedudukan imam wanita dan makmum wanita : 


 🔶  Imam wanita berdiri di tengah-tengah manakala makmum berdiri di sebelah kanan dan dikiri imam di dalam saf yang sama, disunatkan bagi makmum perempuan untuk menzahirkan sedikit kedudukan imam di antara mereka dengan berdiri belakang sedikit daripada imam bagi tujuan membezakan antara keduanya.


Di kesempatan ini, suka saya kongsikan beberapa kelebihan solat secara berjemaah pada sahabat-sahabat.


1) Mendapat pahala 27 darjat


Daripada Abdullah bin 'Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


صَلاَةُ الجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً


Maksudnya: “Solat berjemaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjatt.”

(HR Bukhari, hadis sahih)


2) Dipelihara daripada gangguan syaitan


Daripada Abu Darda’, Nabi SAW bersabda: 


 مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلاَةُ إِلاَّ قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ ‏"


Maksudnya : "Tiga orang di dalam sebuah kampung atau penempatan yang tidak solat jemaah sesama mereka, mereka telah dikuasai syaitan. Oleh itu, engkau perlu sentiasa berjemaah kerana serigala memakan kambing yang bersendirian."


(HR Abu Daud, hadis hasan)


RUJUKAN:


1. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr Nik Yusri Musa.

2. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-464: Kedudukan Imam Perempuan Dan Makmum Ketika Solat Jemaah.

3. Laman Web Rasmi Mufti Selangor Taudhih Al-Ahkam: Kedudukan Kanak-Kanak Lelaki Dalam Saf Solat Berjemaah.


Semoga bermanfaat buat semua. 


SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.  


Kredit: Ustazah Asma' Binti Harun  & Tim Penyelidikan

Thursday, 17 March 2022

Mengapa Peniaga Letakkan Pelaris Di Kedai Makan?


Hai korang. Aku harap korang sihat-sihatlah hendaknya. Aku pernah tonton video dekat Youtube kisah-kisah seram ni. Ada Youtuber tu dia akan sharelah beberapa kisah seram di setiap negeri. Maksudnya dari Negeri Perlis sampailah Singapura. Aku sebenarnya suka jugak tengok kisah seram, tapi video dia agak best berbanding Youtuber-Youtuber yang lain. Cara dia sampaikan kisah seram tu pun bersahaja. Ada part lawak sikit. Jumpscare pun taklah keterlaluan sangat.

Kisah yang menarik perhatian aku adalah kisah meletakkan pelaris di kedai makan. Menurut cerita, ada satu kedai di Terengganu telah mengamalkan pelaris ini. Nama dan tempat kedai itu dirahsiakan. Katanya, kedai itu tak adalah selalu orang datang sebabnya layanan dan masakan di kedai tersebut tak lah berapa memberangsangkan. Jadi, orang pun sudah trauma nak datang. 

Nak dijadikan cerita, tidak lama selepas itu, ramai pulak orang datang. Kedai itu dikatakan sangat sedap dan makanan yang dihidangkan menepati citarasa pelanggan. Jadinya ada segelintir penduduk amat curiouslah kenapa tiba-tiba sahaja ramai sangat orang datang. Macam tiba-tiba sahaja kedai tu menjadi viral. Ha, lebih kurang begitulah. 

Jadi ada yang bawa balik sedikit lauk pauk untuk di makan di rumah. Tapi, tidaklah sedap sangat. Rasanya biasa sahaja. Sebab itulah keluarga salah seorang pelanggan tersebut rasa pelik. Kenapa makan di kedai tak sama dengan bawak balik di rumah? Jadi ayah kepada salah seorang pelanggan kedai ini tadi teruslah berbincang dan akan datang semula ke kedai itu pada esok hari.

Esoknya, mereka anak beranak terus datang ke kedai viral tersebut. Macam biasa, kedai tu penuh dengan orang. Orang beratur lama pun tak kisah, asalkan dapat makan. Si ayah ini tadi terus meminta izin untuk ke tandas, sambil-sambil melihat persekitaran di kedai. Alangkah terkejutnya si ayah apabila melihat banyak azimat yang diletakkan di dinding kedai. Dekat dapur pun ada. Kalau ikutkan memang tulisan tu tak jelas. Sekali imbas macam ayat al-quran, rupanya tidak. 

Di dapur, si ayah melihat pocong menggoyangkan badannya ke atas dan ke bawah sambil meludah ke arah periuk. Rupanya kedai ini telah mengamalkan pelaris. Si ayah terus keluar dan meminta anaknya untuk tidak datang lagi ke kedai ini. Si ayah ini dapat melihat benda yang tidak dapat dilihat. Jadi sebab itulah beliau meminta anaknya terus keluar dari kedai tersebut. 

Sekarang, kedai tersebut tiada lagi dan dirobohkan kerana si ayah telah membuat laporan kepada pihak berwajib. Pemilik kedai itu pun telah dijatuhkan hukuman atas meletakkan benda-benda yang syirik ini. 

Kenapa peniaga meletakkan pelaris di kedai makan?

Mesti korang ada terfikir kan, kenapalah peniaga ini sanggup letakkan pelaris di kedai makan. Antara satu sebabnya adalah nak bagi kedai diorang laku. Nak orang datang. Biarlah balik modal ha gitu. Tapi itulah, letakkan pelaris ni amat ditegah oleh agama Islam. Syirik. 

Sebab apa? Sebab kita meminta dekat jin dan syaitan untuk melariskan perniagaan kita. Sumber wang yang kita dapat nanti itu pun akan jadi tak halal. Tak berkat. Sebab itulah lama-lama rezeki jadi sempit.

Jenis pelaris

Pelaris ini ada pelbagai jenis. Jika dekat dinding kedai ada tulisan-tulis ayat jawi yang berbentuk pocong, jadi makhluknya adalah pocong. Jika dekat tulisan tersebut ada bentuk harimau, jadi makhluk yang digunakan adalah harimau begitulah. Selalunya pelaris ini diletakkan di dinding, dan ditanam dekat penjuru kedai.


Bagaimana nak kenal kedai ada pelaris atau tidak?

Sebenarnya nak kenal kedai ini ada pakai pelaris, cuba korang tengok di sekitar dinding kedai, jika ada tulisan-tulisan yang mencurigakan, better korang keluar.

Lagi satu, kedai yang mengamalkan pelaris ini hanyalah makanan tu sedap makan dekat kedai saja, kalau bawa balik makanan tu rasa biasa saja. Tak pun tak sedap langsung. Berikut pengalaman yang aku baca, orang yang terkena ludahan pocong pelaris ini, kemungkinan badan dia akan naik gatal-gatal, dia akan sembuh, cuma lambat sikitlah. 

Jadi, aku harap korang berhati-hatilah kalau korang nak makan di kedai makan. Sebab orang sanggup buat apa sahaja untuk buat kedai diorang maju dan viral. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk korang. Terima kasih sebab singgah di blog aku ini.

Monday, 7 February 2022

5 Kata-kata hikmah Imam Syafie




5 𝒌𝒂𝒕𝒂-𝒌𝒂𝒕𝒂 𝒉𝒊𝒌𝒎𝒂𝒉 𝑰𝒎𝒂𝒎 𝑺𝒚𝒂𝒇𝒊𝒆 🌟😇🤲

🌼Hati adalah Raja dalam diri. Jadi, luruskan dan perbetulkanlah ia agar mentadbir dirimu tegak di atas al-haq yang tiada unsur kebatilan.
.
🌼Marah adalah salah satu daripada panah-panah syaitan yang mengandung racun. Jadi hindari ia supaya kamu dapat mengalahkan syaitan dan bala tenteranya.
.
🌼Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat. Ia juga adalah amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.
.
🌼Jika kamu tidak tahan terhadap penatnya belajar, maka kamu akan menanggung bahayanya kebodohan.
.
🌼Aku mampu berhujah dengan 10 orang berilmu, tapi aku akan kalah pada satu orang yang jahil (bodoh) karena ia tidak tahu akan landasan ilmu.
.
Semoga semua yang membaca mendapat manfaat. Ameen. 🤲❣️

Sunday, 6 February 2022

4 Tanda Riyak Yang Mesti Dijauhi


Riyak ini berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud melihat. Riyak merupakan perbuatan yang amat dibenci oleh Rasulullah. Mengapa? Sebab hanya kerana satu sahaja, habis semua pahala dan amal ibadat yang kita lakukan selama ini. 

Bagaimana kita mahu mengenal seseorang itu bersifat riyak?


Hakikatnya, tiada sesiapapun yang tahu kerana riyak ini tergolong dalam syirik kecil iaitu syirik yang kita tak nampak. Umpama kita mahu melihat hati dan fikiran seseorang. Memang sampai kiamat pun kita tak akan tahu. Pada fikiran kita, seseorang itu melakukan amal ibadat ikhlas kerana Allah. 

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran, 

"Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riyak kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan sebagai temannya, maka syaitan itulah teman yang seburuk-buruknya."


4 Tanda Riyak


1. Malas ketika bersendirian

2. Rajin di hadapan orang

3. Semakin rajin beramal apabila dipuji

4. Semakin malas beramal apabila mendapat celaan

- Saidina Ali bin Abu Thalib


Kita jangan pernah berhenti berdoa kepada Allah supaya kita dapat menjauhkan diri daripada sifat riyak ini. Untuk mengelakkan daripada hati terus berasa riyak, kita hendaklah banyak berzikir dan memuji Allah SWT. Amalan yang kita lakukan di mata manusia belum tentu diterima di sisi Allah. Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din;

 “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Biarlah kita melakukan setiap kerja dengan ikhlas. Rasulullah berkata, "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu."

Ikhlas menjadi keutamaan dan kunci ketaatan seorang mukmin kerana:


1. Ikhlas adalah perintah daripada Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 11 bermaksud: Katakanlah lagi wahai Muhammad: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

2. Ikhlas menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Ghafir, ayat 14 bermaksud: “Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu.”

3. Ikhlas adalah tanda keimanan yang memberikan ketenangan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath, ayat 18 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah SWT reda akan orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

4. Ikhlas menjauhkan daripada sifat riyak (menunjuk-nunjuk). Hati orang yang ikhlas tidak menunjuk-nunjuk ketika melakukan kebaikan.

5. Ikhlas menjauhkan sifat munafik. Hati yang ikhlas melahirkan akhlak yang sebenar.

(Sumber: Harian Metro)


Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah agar setiap amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh-Nya. Amin. Berikut adalah surah yang menekankan bahawa bahayanya kita bersifat riyak. 

Surah Al-Baqarah ayat 264:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakan (pahala) sedekah-sedekah kamu dengan mengungkit dan menyakiti seperti (rosaknya pahala) orang yang membelanjakan hartanya kerana riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia, dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu adalah seperti batu licin yang tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan yang lebat sehingga menjadikannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang kafir dan riak itu), mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada yang mereka usahakan. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum kafir.”

(Sumber: Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darulsalam)


Thursday, 27 January 2022

Hukum Memakan Daging Penguin



Soalan: Assalamualaikum. Apakah hukum memakan daging penguin?


Jawapan: Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.

Definisi penguin dan habitatnya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penguin ialah sejenis burung laut di Antartika yang berwarna hitam putih, berkaki pendek, menggunakan sayapnya untuk berenang, dan berjalan tegak lurus di darat. Penguin membentuk order penguin, Sphenisciformes, dan famili Spheniscidae. Ia termasuk dalam sekumpulan burung akuatik yang tidak dapat terbang.

Penguin ialah burung luar biasa yang berdiri tegak di atas kakinya yang pendek dan berjalan tergedek-gedek dengan gaya yang kekok dan menggelikan hati. Penguin tidak boleh terbang tetapi pandai berenang. Penguin tinggal di separuh bahagian di dunia selatan. Beberapa jenis penguin, termasuk penguin Adelie dan penguin Maharaja tinggal di atas ais Antartika. Yang lain-lain terdapat jauh di utara di kawasan yang menerima arus laut yang sejuk dari kawasan Antartika.

Semua penguin mempunyai bulu pendek dan tebal pada badannya yang pendek dan gempal. Bulunya putih di perut dan hitam atau hitam kebiru-biruan di belakang. Sesetengah penguin mempunyai jambul daripada bulu panjang di sisi kepalanya dan tompok-tompok berwarna cerah pada lehernya yang pendek dan lebar. Penguin hilang keupayaan untuk terbang berjuta-juta tahun dahulu. Sayapnya bertukar menjadi sayap sirip yang berfungsi sebagai dayung dalam air. Sayap sirip ini serta kaki renang, menjadikan penguin pandai berenang dan menyelam. Bulunya yang pendek dan lebat menjadi bulu kalis air. Lapisan lemak yang tebal memanaskan penguin semasa dalam air sejuk.

Penguin memakan ikan. Ia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam air, tetapi bertelur dan membela anaknya di atas darat atau di ais. Semasa di darat, ia membuat sarang dalam koloni yang dikenali sebagai rookery. Sesuatu rookery mungkin mengandungi sehingga sejuta penguin.

Hukum memakan penguin

Pada asasnya, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i. Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram.] 

Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging penguin iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain. Begitu juga, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Sumber:Maktabah al-Bakri 


Saturday, 22 January 2022

Tatacara Sujud Syukur







SUJUD SYUKUR: ADAKAH PERLU BERWUDHUK DAN MENGHADAP KIBLAT?


SOALAN: 
Assalamualaikum ustazah. Baru-baru ni anak saya dapat tawaran belajar ke Mesir. Saya nak buat sujud syukur tapi saya tak tahu macam mana caranya. Perlu berwudhuk dulu dan hadap kiblat ke? Mohon pencerahan, terima kasih ustazah.

JAWAPAN:
SubhanAllah alhamdulillah, terima kasih atas persoalan yang sangat baik. Semoga Allah terus beri kekuatan dalam usaha meningkatkan iman dan taqwa.

Menjadi seorang hamba yang bersyukur kepada Allah SWT adalah wajib bagi setiap mukmin. Bahkan siapa yang tidak bersyukur kepada manusia bererti dia juga tidak bersyukur juga kepada Allah SWT.

Daripada Asy’as bin Qais r.a., Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: "Tidak akan bersyukur kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia."
(HR Abu Daud, hadis sahih)

DEFINISI SUJUD SYUKUR

Sujud bererti merendah dan menghambakan diri kepada Allah. Ia merupakan perbuatan yang sangat dicintai Allah SWT, bahkan sujud menjadi bukti kita mengakui keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Syukur pula membawa maksud menghargai atau berterima kasih kepada sesuatu pemberian. Sebagai Muslim, wajib bagi kita mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT.

Justeru, sujud syukur adalah sujud yang dilakukan untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT atas nikmat yang hadir secara tiba-tiba atau terselamat daripada sesuatu bala.  

DALIL DAN HUKUM SUJUD SYUKUR


Terdapat sebuah hadis di dalam Kitab Syarah Minhaj at-Talibin (Jalan Penuntut Ilmu):

Daripada Abu Bakrah, beliau menceritakan:
 
أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
 
Maksudnya: "Apabila terdapat perkara yang menyenangkan atau Baginda diberi khabar gembira, maka Baginda sujud kerana bersyukur kepada Allah."
(HR Abu Daud, hadis sahih)
 
Daripada ‘Abdurrahman bin ‘Auf, bahawasanya Rasulullah SAW  pernah bersabda:
 
إِنِّي لَقِيتُ جَبْرَائِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ فَبَشَّرَنِي وَقَالَ: إِنَّ رَبَّكَ، يَقُولُ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ، وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَسَجَدْتُ لِلَّهِ شُكْرًا
 
Maksudnya: “Aku bertemu dengan Jibril a.s., lalu dia memberikan khabar gembira kepadaku dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhanmu telah berfirman: Barang siapa yang mengucapkan selawat kepadamu, maka aku akan mengucapkan selawat kepadanya. Barang siapa yang mengucapkan salam kepadamu, maka aku akan mengucapkan salam kepadanya’. (Mendengar hal itu), aku pun bersujud kepada Allah bersyukur kepada-Nya”. 
(HR al-Baihaqi, hadis sahih) 
 
1. Mazhab Syafi’e dan Hanbali memutuskan bahawa hukum sujud syukur ialah sunat menurut kitab Mughni al-Muhtaj.
 
2. Imam Syaukani menyatakan dalam Al-Bahr Az-Zikhar, Rasulullah SAW melakukan sujud syukur pada tempat dan situasi tertentu. Oleh itu, sujud syukur tidaklah wajib. 
 
3. Di dalam kitab Fathul ‘Alam pula beliau berkata tiada hadis yang mensyaratkan untuk berwudhuk atau menghadap kiblat bagi sujud syukur. 
 
4. Syeikh Zakariya al-Ansari menerangkan di dalam Syarah al-Bahjah, sunnah sujud syukur ialah seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat.
 
5. Sayyid Sabiq menyebutkan di dalam kitabnya, Fiqh as-Sunnah, sujud syukur dilakukan ketika: 
 
Menerima berita gembira seperti disembuhkan daripada penyakit kronik, rezeki yang tidak disangka-sangka dan seangkatan dengannya.
 
Ditimpa musibah, misalnya seseorang yang terselamat daripada bencana atau malapetaka. 
 
Bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita, hukumnya wajib. Manakala perbuatan sujud syukur itu adalah sunat. 
 

TATACARA SUJUD SYUKUR 


1. Niat.

Lafaz niat sujud syukur:

نَوَيْتُ سُجُوْدَ الشُّكْرِ سُنَّةَ لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku melakukan sujud syukur sunat kerana Allah Taala”. 

2. Takbiratul Ihram.

3. Sujud (sekali sahaja) dan baca seperti bacaan berikut:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ

Maksudnya: “Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali atas pertolongan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

4. Duduk seperti tahiyat akhir tanpa membaca tasyahud. 

5. Memberi salam.

BILAKAH WAKTU UNTUK SUJUD SYUKUR


Ketika adanya nikmat, rezeki, kebahagiaan atau mendapat hidayah dalam keadaan tak disangka-sangka. Jika nikmat itu berterusan atau berkekalan, misalnya sudah ada kereta, rumah atau pekerjaan, maka itu tidak termasuk dalam perkara yang dibolehkan sujud syukur.
 
Sujud syukur juga sunat dilakukan ketika terhindar daripada musibah seperti selamat daripada bahaya atau bahkan terselamat daripada melakukan kemungkaran. 
 
Contoh nikmat yang datang tiba-tiba adalah seperti kes sahabat yang bertanya, iaitu dapat panggilan bahawa anak beliau diterima sambung pengajian di Mesir. 

📍 Atau ketika seorang isteri yang melahirkan anak dalam keadaan selamat sejahtera. 
📍 Atau ketika mendapat berita dinaikkan pangkat, menambah elaun atau gajinya.
📍 Atau ketika ahli keluarga yang hilang, kemudian berjaya ditemui semula.
📍 Atau ketika berperang lalu mendapat kemenangan.
📍 Atau ketika kita melihat seseorang mencuri di depan mata, lalu kita sedar bahawa kita tidak terdorong melakukan kemungkaran yang sama seperti pencuri itu. Maka sunat kita sujud syukur ketika itu.
 
Tuan Puan, 
 
Sebenarnya orang yang diberi musibah iman seperti mencuri, mencarut, rasuah, berzina, dan lain-lain itu jauh lebih dahsyat berbanding orang yang diuji secara zahir seperti banjir, kematian, kehilangan harta, dll. 

KELEBIHAN SUJUD SYUKUR


Firman Allah SWT

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
(Surah Ibrahim 14: 7)

الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d 13: 28)

SubhanAllah, sujud syukur memberi banyak hikmah kepada orang yang melakukannya. Antaranya: 

📍 Merasai kepuasan rohani kerana menerima anugerah daripada Allah SWT .
📍 Semakin dekat dengan Allah sehingga memperoleh bimbingan dan hidayahNya.
📍 Ditambahkan nikmat daripada Allah SWT dan selamat dari seksaNya.

KESIMPULAN

📍 Hukum sujud syukur ialah sunat.
📍 Sujud syukur boleh dilakukan tanpa berwudhuk atau menghadap kiblat.
📍 Tatacara sujud syukur adalah niat, takbiratul ihram, sujud, duduk tasyahud akhir (tanpa membaca tahiyat), dan memberi salam.
📍 Dilakukan ketika menerima khabar gembira atau nikmat yang baik, dengan syarat bukan nikmat yang berterusan atau berkekalan.
📍 Juga dilakukan ketika terselamat daripada bencana atau terhindar daripada maksiat yang besar seperti zina, curi, meminum arak dan lain-lain.

Rujukan:


1. Kitab Syarah Minhaj at-Talibin, karangan Imam Nawawi.
2. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-136: Sujud Syukur, Adakah Memerlukan Wudhu’ & Menghadap Kiblat? 

Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun
 

Popular Posts