Sunday, 6 February 2022

4 Tanda Riyak Yang Mesti Dijauhi


Riyak ini berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud melihat. Riyak merupakan perbuatan yang amat dibenci oleh Rasulullah. Mengapa? Sebab hanya kerana satu sahaja, habis semua pahala dan amal ibadat yang kita lakukan selama ini. 

Bagaimana kita mahu mengenal seseorang itu bersifat riyak?


Hakikatnya, tiada sesiapapun yang tahu kerana riyak ini tergolong dalam syirik kecil iaitu syirik yang kita tak nampak. Umpama kita mahu melihat hati dan fikiran seseorang. Memang sampai kiamat pun kita tak akan tahu. Pada fikiran kita, seseorang itu melakukan amal ibadat ikhlas kerana Allah. 

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran, 

"Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riyak kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan sebagai temannya, maka syaitan itulah teman yang seburuk-buruknya."


4 Tanda Riyak


1. Malas ketika bersendirian

2. Rajin di hadapan orang

3. Semakin rajin beramal apabila dipuji

4. Semakin malas beramal apabila mendapat celaan

- Saidina Ali bin Abu Thalib


Kita jangan pernah berhenti berdoa kepada Allah supaya kita dapat menjauhkan diri daripada sifat riyak ini. Untuk mengelakkan daripada hati terus berasa riyak, kita hendaklah banyak berzikir dan memuji Allah SWT. Amalan yang kita lakukan di mata manusia belum tentu diterima di sisi Allah. Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din;

 “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Biarlah kita melakukan setiap kerja dengan ikhlas. Rasulullah berkata, "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu."

Ikhlas menjadi keutamaan dan kunci ketaatan seorang mukmin kerana:


1. Ikhlas adalah perintah daripada Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 11 bermaksud: Katakanlah lagi wahai Muhammad: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

2. Ikhlas menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Ghafir, ayat 14 bermaksud: “Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu.”

3. Ikhlas adalah tanda keimanan yang memberikan ketenangan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath, ayat 18 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah SWT reda akan orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

4. Ikhlas menjauhkan daripada sifat riyak (menunjuk-nunjuk). Hati orang yang ikhlas tidak menunjuk-nunjuk ketika melakukan kebaikan.

5. Ikhlas menjauhkan sifat munafik. Hati yang ikhlas melahirkan akhlak yang sebenar.

(Sumber: Harian Metro)


Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah agar setiap amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh-Nya. Amin. Berikut adalah surah yang menekankan bahawa bahayanya kita bersifat riyak. 

Surah Al-Baqarah ayat 264:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakan (pahala) sedekah-sedekah kamu dengan mengungkit dan menyakiti seperti (rosaknya pahala) orang yang membelanjakan hartanya kerana riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia, dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu adalah seperti batu licin yang tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan yang lebat sehingga menjadikannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang kafir dan riak itu), mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada yang mereka usahakan. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum kafir.”

(Sumber: Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darulsalam)


3 comments:

  1. aminn ya robbal Alamein 😅😅

    ReplyDelete
  2. Selalu ingatkan diri buat kerana Allah, jangan harapkan apa-apa balasan daripada manusia.

    ReplyDelete
  3. Semoga Allah jauhkan kita daripada sifat2 riak dan ujub

    ReplyDelete

Popular Posts