Thursday, 19 December 2024

Boleh ke guna air banjir untuk berwuduk dan mandi wajib?

 



“Ustazah, setiap kali musim banjir, saya pasti akan tertanya-tanya bagaimana dengan status wuduk dan mandi wajib saya. Adakah sah jika saya hanya menggunakan air banjir?”


Soalan ini menjengah di ruang inbox saya, terdetik untuk menjawab.  

.

.

Allahu Akbar, inilah perkara yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan saudara kita yang terlibat dengan musibah banjir. Sebelum menjawab persoalan ini, mari kita sama-sama mendoakan kesejahteraan buat semua sahabat-sahabat yang ditimpa banjir saat ini agar sentiasa mendapat perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT. 🤲🏻


Daripada Anas bin Malik, dia berkata, “Nabi Muhammad SAW ketika mendapat masalah yang berat, beliau membaca:


 يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ


Maksudnya: ”Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan).”

(HR Tirmidzi, hadis hasan)


BERWUDUK MENGGUNAKAN AIR BANJIR


Berwuduk adalah perbuatan membasuh dan menyapu beberapa anggota badan dengan air mutlak secara tertib. Tujuannya adalah untuk membolehkan seseorang untuk menunaikan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan sebagainya. 

 

Dalam situasi banjir, hendaklah seseorang mencari air mutlak (air yang suci) terlebih dahulu untuk berwuduk. Sekiranya tidak ketemui, maka DIBOLEHKAN baginya menggunakan air banjir untuk berwuduk dan bersuci. 


Ini berdasarkan kenyataan yang disebut oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili di dalam Al-Mu’tamad fi Fiqh al Syafie iaitu:


“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan. Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan”.


Jika seseorang itu meyakini bahawa air banjir itu telah bercampur dengan najis yang banyak, maka ia tidak boleh digunakan lagi untuk berwuduk. Akan tetapi, sekiranya ia hanya sangkaan ataupun keraguan semata-mata, maka ia tidak menggugat kesucian air banjir untuk berwuduk. Ini berdasarkan kaedah


اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ


Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Hukum ini juga digunapakai untuk bersuci dari HADAS BESAR/ MANDI WAJIB bagi seseorang yang ketiadaan air mutlaq dan ingin menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci. 


BERTAYAMMUM KETIKA KETIADAAN AIR BERSIH ATAU TIDAK MEYAKINI KEBERSIHAN AIR BANJIR


Sekiranya sesuatu tempat terputus bekalan air bersih atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja atau tidak meyakini kesucian air banjir, maka DIBOLEHKAN bagi seseorang itu untuk bertayamum sebagai alat ganti bagi bersuci dari hadas kecil mahupun besar. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang iaitu : 


الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ


Maksudnya :Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan


Tayamum juga DIBOLEHKAN bagi mangsa banjir yang sakit dan tidak boleh menggunakan air. Ini merupakan satu keringanan yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya seperti di dalam firman Allah SWT :

 

 يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ


Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)


Sekiranya sukar bagi mangsa banjir untuk mendapatkan debu tanah yang suci, maka DIHARUSKAN untuk menepuk debu tanah yang terdapat di dinding, cermin, meja atau mana-mana tempat yang dirasakan ada debu untuk bertayammum. 


CARA-CARA BERTAYAMMUM:


1) Menepuk kedua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka.


2) Berniat ketika memindahkan debu tanah sehingga menyentuh muka. Lafaz niat bertayammum adalah seperti berikut::


نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لِاسْتِبَاحَةِ الصَّلَاةِ للهِ تَعَالَى


Maksudnya: Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah

Ta’ala .


3) Menyapu keseluruhan muka.


4) Menepuk kedua tapak tangan pada debu tanah untuk kali kedua bagi menyapu tangan .(Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu dari debu tanah yang telah digunakan).


5) Menyapu tangan kanan dari belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jaritangan kiri

dari hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku.


6) Menyapu tangan kanan dari siku hingga ke hujung ibu jari.


7) Menyapu tangan kiri dari belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan

(selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.


8 ) Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.


9) Tertib. 

* Sunat menipiskan debu tanah pada tapak tangan sebelum disapukan ke anggota tayammum. 

* Bagi yang memakai cincin, jam tangan atau apa-apa sahaja di bahagian tangan perlulah menanggalkannya terlebih dahulu agar debu tidak terhalang dan sampai ke kulit. 


KESIMPULAN


1) DIBOLEHKAN bagi seseorang menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci dari hadas kecil mahupun besar sekiranya tiada air mutlaq atau air yang ada hanya cukup untuk keperluan tertentu.


2)  Jika tidak meyakini kesucian air banjir, maka DIBOLEHKAN baginya untuk bertayammum dengan menggunakan debu tanah yang suci.


3) Sah wuduk, mandi wajib atau beristinjak dengan air banjir walaupun keruh kerana ia adalah air mutlaq.  


RUJUKAN:


1. Maktabah Al-Bakri, Soal Jawab Agama, Taharah (Berwudhu Dengan Air Banjir).

2. Aplikasi FIBA (Fiqh Banjir), International Fatwa and Halal Centre, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan 

#SahabatHijrah

Post a Comment

Popular Posts