Tuesday, 17 January 2023

Fiqh Solat Jamak dan Qasar


Assalamualaikum. Kali ini aku nak kongsikan tentang fiqh mengenai Solat Jamak dan Qasar. 

Bila dibolehkan Jamak & Qasar?

Solat Qasar dan Jamak dilakukan apabila bermulanya perjalanan dengan sekira-kira melepasi rumah-rumah terakhir dalam kampung yang didiaminya. Dalilnya ialah firman Allah Taala.


وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُواْ مِنَ الصَّلاَةِ 

"Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi maka tiada kesalahan ke atas kamu untuk menqasarkan solat". 

(Surah al-Nisa': 101)


Dalam ayat ini Allah jadikan keharusan "qasar" (memendekkan) solat dengan syarat bermula perjalanan.

Maka, tidak boleh mengerjakan solat jamak dan qasar ketika masih lagi berada di rumah walaupun telah berazam dan bertekad untuk bermusafir.


Berapakah jarak perjalanan yang dibolehkan Qasar Solat?


1. Para Fuqaha berbeza pendapat dalam masalah ini. Majoriti Fuqaha berpandangan jaraknya ialah 4 "burud" ( kata jamak bagi "barid ) bersamaan dengan 16 "farsakh" bersamaan 48 "mil". 1 barid bersamaan 4 farsakh, 1 farsakh bersamaan 3 "mil". 


2. Dalilnya ialah Athar Sahih riwayat Baihaqi dan disebut sebagai ulasan dalam Sahih Bukhari

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ، وَعَبْدَ اللهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ كَانَا يُصَلِّيَانِ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ

"Bahawa Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Abbas (r.a) kedua-duanya mengerjakan solat 2 rakaat, 2 rakaat dan berbuka puasa pada jarak 4 burud ke atas"


3. Begitu juga Athar yang Dhaif daripada Abdullah bin Abbas (r.a) katanya; 

يا أهلَ مَكَّةَ، لا تَقْصُروا في أقلَّ مِن أربعةِ بُرُد

"Wahai penduduk Mekah. Jangan qasarkan solat pada kurang daripada 4 burud"


4. Fuqaha kontemporari berbeza pula dalam pengiraan kadar "mil" (mile atau batu). Kebanyakannya berpegang pada kadar 1.848 meter menurut kadar "mil hasyimi". Maka 48 "mil" bersamaan 88.7 km. Jabatan Fatwa Mesir pula berpegang 48 mil hasyimi pada kadar 83.5 km.


5. Kebanyakan ulamak terkemudian mazhab Syafie berpegang pada kadar 1 mil bersamaan 3500 hasta. Kajian terkini oleh Dr Muhammad Najmuddin al-Kurdi dalam karya beliau "Ukuran-Ukuran Syar'ie" bahawa 1 hasta bersamaan 48 cm. Justeru, 48 mil x 3500 hasta x 48 cm bersamaan 80.64 km. Kiraan ini dipegang oleh Jabatan Fatwa Jordan. 


6. Semua kiraan jarak yang menjadi khilaf Ulamak ini bersifat jarak anggaran sahaja bukan jarak yang tepat. Maka kita boleh mengambil anggaran jarak untuk Qasar Solat antara kadar 81 km hingga 88 km.


7. Sebahagian kecil Fuqaha pula tidak meletakkan jarak untuk Qasar. Mereka berpegang pada Uruf setempat kadar jarak yang dianggap sebagai musafir dan berjalan. 


8. Antara yang berpegang dengan pendapat ini sebahagian Ulamak Hambali seperti Ibnu Qudamah, Ibnu Taymiyah, Ibnu Qayyim dan juga Syaukani. Di kalangan ulamak kontemporari pula ialah Syanqiti dan Albaani.


9. Dalilnya ialah Hadis Abdullah bin Umar (r.a) katanya:

إنِّي لأُسافِرُ الساعةَ من النَّهارِ فأَقْصُر

"Sesungguhnya saya pasti bermusafir suatu ketika daripada siang lalu saya qasarkan (solat). 

(Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dan disahihkan isnadnya oleh Ibnu Hajar al-Asqalani). 


Sekian.


Kredit: Dr Khairuddin Takiri

Ahad 8.1.2023


Post a Comment

Popular Posts