Wednesday, 7 January 2026

Dapat emel Perantis Jiwa

Assalamualaikum dan hai korang! Entah masuk tahun baru ni aku rasa lebih bersemangat untuk blogging balik. Kalau tengok tahun lepas tu sendu betul blog aku eh. Memang datang mood malas tu, yang tu aku sampai tak tahu nak komen apa, sebab aku memang tak rajin nak update. 

Nak fikir content apa pun aku tak ada idea. Aku nak share percutian aku tu pun, aku kena ada masa dan kerajinan yang banyak ya. Kalau tunggu saja-saja nak update tu memang lambat lagi.. sebab aku mengaku aku memang malas haha. 

Okey, nak dijadikan cerita, masa tu aku scroll lah IG. Aku ni dari dulu kalau korang follow aku, mesti korang tahu yang aku pernah terbit buku antologi cerpen dan puisi kan, betul tak? Pastu aku stop kejap menulis, sebab aku betul-betul tak ada mood. Tambahan pulak, aku masih lagi tengah sambung belajar waktu tu. So, merasalah kejap terbit buku masa belajar. Bangga eh dapat lah merasa royalti walaupun tak banyak.

Buku cerpen tu pernah masuk MPH tak silap aku. Penerbit kecil je, sekarang ni pun, aku pun tak tahu lah masih wujud ke tak. Tak banyak penerbit dulu-dulu yang kekal. Ada yang bungkus awal. Ye lah, nak bertahan dalam industri buku ni cukup susah. Yang kental je boleh tahan. So, janganlah korang pandang rendah eh pada penulis dan penerbit ni. Susah tau nak kekalkan momentum. Tambah-tambah nak menulis berpuluh-puluh muka surat. 

Okey, sambung balik cerita tadi. Bila aku scroll je, aku ternampak satu posting daripada penulis Jiwa. Aku rasa dia founder pada publisher Nukilan Biruni (so far, aku tak pasti. Kalau salah, perbetul kan tau!). Dia nak cari penulis yang berminat untuk menghantar manuskrip bawah penerbit tu. 

Aku sebenarnya berminat nak hantar, sebab aku pernah hantar proposal puisi, tapi diorang tak nak terbitkan lagi. So, aku pun okeylah. Tapi posting tu diorang nak novel. Aku pun apa lagi, aku hantar proposal dua novel aku. Tapi tak siap lagi lah. Masih raw. Dan Jiwa pun okey je kalau masih tak siap lagi. Terabur weh ayat aku hahahaah. 

Aku tunggu punya tunggu. Ingatkan proposal aku tu dah ditolak. Rupanya, diorang perlu ambik masa sikit sebab banyak gila yang hantar. 300++ emel kot diorang terima. Memang ambik masa lah nak baca satu-satu. Aku pun tunggu dekat dua bulan jugak lah. 

Pagi tadi, aku dapat emel. Satu proposal karya aku tu dapat top 50. Satu lagi pulak dapat shortlisted. Jadi diorang nak interview aku untuk kenal aku dengan lebih dalam lagi pasal proposal aku tu. Fuh! Berdebar weh! Dah lama aku tak kena interview ni. 

So, aku harap, urusan aku lepas ni dipermudahkan. Aku pun tak meletak harapan tinggi pun untuk dapat. Aku hanya nak buat yang terbaik je. So, korang doakan aku tau semoga aku dapat buat yang terbaik. Apa-apa keputusan, nanti aku bagitahu sama ada aku lulus ke tak. 

Okeylah! Bye. 

Sunday, 4 January 2026

Azam tahun 2026

 Assalamualaikum semua. Dah masuk tahun 2026. Cepat betul masa berlalu. Tahun lepas, aku kurang sikit nak update dekat blog ni. Itu pun kali ni nak update sebab tak nak nampak blog ni berdebu kan? Pengalaman aku waktu travel pun aku tak share full pun lagi. Kadang-kadang, ada je idea, tapi nak menulis tu kemain malas eh.. tak tahu lah kenapa..

Oh ya, untuk azam tahun baru ni aku tak nak tetapkan terlampau banyak. Cukuplah aku berlalu dengan mudah dan jugak aku dapat terbitkan buku. Ha, nak tahu buku apa? Jeng..jeng..jeng! Nanti aku share tau! Aku pun belum dapat full layout lagi. Kiranya tahun 2026 ni bermula dengan terbit bukulah kan.. okey lah at least ada jugak satu. 

Okey lah, setakat itu saja untuk hari ni. Nanti aku share lagi. 

Saturday, 2 August 2025

Proposal manuskrip Lacrimosa lulus!

 Assalamualaikum. Maaf dah berapa bulan aku tak update blog ni. Sebenarnya aku nak blogwalking blog orang pun rasa malas tau. Sebab rasa macam tak rajin nak baca dan komen. Korang yang ada blog tu jangan lah kecik hati pulak kalau aku tak drop komen dekat blog korang. 

Sekarang ni pun, badan aku tengah tak sihat. Tambah-tambah pulak dengan cuaca yang panas bahang ni. Aku tak dapat nak bayangkan macam mana nanti kalau suhu mencecah 40C. Dekat tempat aku baru cecah 35C aku dah menggelupur tau haha. Sekarang ni kena banyakkan minum air masak dan jangan lakukan aktiviti outdoor masa cuaca tengah panas bahang. 

Baiklah, nak dijadikan cerita, aku nampak satu penerbitan buku ni (aku rahsiakan dulu nama publisher tu ya) ada iklankan dekat IG diorang bermula bulan Julai, segala manuskrip yang dihantar mestilah kena send proposal dulu. Bagi aku, proposal ini sekaligus dapat menjimatkan masa diorang nak baca manuskrip satu-satu. Rasa macam membazir kalau dah baca semua, tapi manuskrip tu tak menepati kriteria diorang. 

Aku ni saja nak try luck. Mana tahu dapat. Haha. Sejujurnya mulai tahun ni aku berazam nak hantar jugak manuskrip. Setelah sekian lama menyepi kan. Aku ada tulis dekat Wattpad tentang manuskrip yang aku nak send proposal tu. Sebelum aku send, aku ada pin kan cerita tu dekat Thread. Dan admin diorang repost cerita aku. Aku rasa satu peluang yang baik. Mungkin proposal aku akan lulus.

Sebelum send, aku pastikan segala maklumat yang diorang mintak tu mencukupi. Aku buat dalam bentuk table, senang diorang nak tengok. Buat kemas-kemas. Pastikan maklumat tentang manuskrip tu diorang mudah nak faham. Nanti tak pasal-pasal kena reject. 

Aku hantar proposal dalam pukul 12 tengah malam macam tu. Aku tunggu dalam masa 2 hari je. Aku terkejut sebenarnya sebab diorang luluskan proposal aku. Macam tak percaya pulak. Kali ni, diorang nak mintak manuskrip penuh. Aku harap sempat siapkanlah. 

Doakan aku menjadi penulis yang berjaya ya! 

Oh ya, pada yang nak baca cerita raw aku tu, aku sertakan linknya di sini. Mana tahu korang boleh bagi feedback untuk aku perbaiki penulisan aku tu. 

Lacrimosa
Baiklah, setakat ini sahaja untuk hari ini. Selamat berkenalan dengan Nadine dan Kyra!

Tuesday, 25 March 2025

Checklist umrah untuk perempuan

 Assalamualaikum. Maaf ya lama sangat aku menyepi di blog ni. Bukan apa, aku jadi sindrom malas nak taip panjang-panjang. Entri tu sentiasa ada, tapi jari ni cukup malas nak taip. Cuma hari ni, aku push kan diri jugak untuk cari entri yang aku rasa sekarang ini ramai yang tercari-cari. 

Alhamdulillah, aku telah selamat balik dari menunaikan ibadah umrah pada 1 Februari 2025 yang lepas. Aku sempat jalan-jalan Mesir juga. Bila aku free nanti, aku buatkan 1 post ya. Post yang pergi Bandung part II pun aku tak buat lagi haha. Korang sabarlah ya.

Aku pergi ke Mekah dan Madinah selama 8 hari. 4 hari di Mekah, 4 hari di Madinah. Di sini aku share keperluan yang sangat korang perlukan, lagi-lagi perempuan kan? Kalau boleh 1 almari korang nak angkut haha. Untuk pengetahuan korang, list yang aku senaraikan ini memang yang aku betul-betul guna saja tau, dan aku jugak cuci baju di sana sebab aku nak jimat. Aku tak hantar dobi. Kalau dobi akan mahal sikitlah.  

Checklist pakaian 

1. Baju hitam sekali seluar - 2 helai

2. Jubah hitam-1 helai

3. Tudung hitam-3 helai

4. Baju putih sekali seluar-1 helai

5. Jubah putih-1 helai

6. Tudung putih-2 helai

7. Anak tudung hitam-2 helai

8. Anak tudung putih-2 helai

9. Sockhand-4 pasang *bawak lebih pun tak apa

10. Stoking-6 pasang ** bawak lebih pun tak apa

11. Telekung-1 set

12. Mini sejadah-1


p/s: aku beli kasut tawaf tu tapi at last aku tak guna pun. Tawaf pakai stoking saja. Tapi pastikan stoking tebal lah, sebab lantai sejuk. 


Checklist flight

1.Passport

2. Visa

3. Boarding pass


Checklist keperluan mandian

1. Satu set mandian SUCHI (sabun, syampu, pencuci muka, ubat gigi, deodoran, losyen, lip balm, krim tumit)


Checklist ketika menunaikan umrah

1. Satu buku zikir ketika umrah, al-quran, zikir ringkas 

2. Tasbih

3. Botol spray air-1 botol

4. Tisu basah-6 set **memudahkan untuk lap kasut sebelum masuk masjid dan juga sebagai makeup remover. Pastikan tisu basah tak ada wangian. 

5. Uncang kasut-1

6. Telekung ** nak solat macam tu saja pun tak apa.

7. Sejadah

8. Botol air kecil-1 botol untuk isi air zamzam


Okeylah, setakat itu dulu. Nanti kalau ada masa, aku share pengalaman aku pergi sana pulak ya. Sekian..selamat membaca.

Popular Posts