Monday, 6 June 2016

4 Tips To Wear Flare Dress

Flare Dress
Apa itu flare dress? Flare dress ini sebenarnya telah mendapat tempat dalam kalangan orang ramai iaitu wanita. Nak tahu? Dress ini sangat mudah mudah digayakan kerana ia bukan sahaja memakan masa yang singkat malah dress ini mempunyai banyak corak yang cantik. Tak kiralah sama ada wanita itu bertubuh gempal atau kurus, flare dress ini sesuai untuk dipakai. Jadi, anda tidak perlulah risau jika anda mempunyai tubuh yang gempal. Anda tetap akan kelihatan cantik dan bertubuh gempal bukanlah satu penghalang buat anda untuk berfesyen.











So, kepada semua ladies yang suka bergaya, ini merupakan contoh padanan pakaian atau tips yang anda boleh lakukan. Barulah anda sentiasa bergaya.

Tips untuk memakai flare dress.
1.    1.    Memadankan dengan heels.
Ini merupakan best combination untuk menampakkan gaya anda lebih menyerlah dan anggun. Anda juga kelihatan tinggi bagi yang sedikit rendah.




2.     2.   Memadankan dengan flats or sneakers
Kepada yang suka memakai flats or sneakers, jangan khuatir kerana koleksi flare dress ini juga sesuai digayakan bersamanya. Anda juga akan berasa selesa di mana sahaja sepanjang hari.



3.    3.   Outerwear
Saya selalunya melihat rakan saya memakai outerwear seperti jacket dan juga cardigan. Jadi, saya mencadangkan anda boleh tampil berkeyakinan dengan memakai flare dress berserta cardigan. Oh! So cute. Jika anda lebih selesa memakai jacket, no problem. Anda tetap kelihatan bergaya.
      

   




4.     4.   Leggings/Jeans
Bagi yang tidak selesa memakai cardigan or jackets, dan anda masih keliru untuk memadankan flare dress ini, tidak salah jika anda mencuba flare dress ini dengan jeans. Cubalah, mana tahu anda akan kelihatan lebih cantik.

5.    5.    Aksesori.
Ya! Anda boleh memadankan dengan belt yang sesuai dengan pemakaian flare dress ini. Jika anda mempunyai rantai atau gelang tangan, amatlah menarik dan sangat sesuai dipadankan. Ini membuatkan gaya pemakaian anda lebih anggun. Anda juga akan kelihatan yakin untuk berinteraksi dengan rakan-rakan di luar. Selamat mencuba!

Thursday, 13 February 2014

Bagaimana nak jadi tekun?



Bertanyalah Diri, Apa Yang Allah Mahukan? 

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?
Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah mahukan daripada kerjaku ini?
Allah Mahukan Kita Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah mahukan kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita sahaja.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti  jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).

Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya,  ia memang sukar  dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.
Allah Mahukan Kita Hidup Memberi Manfaat

Sabda Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi).

Daripada hadis ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain.

Orang mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri.
Allah mahukan setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat pertengahan dan seimbang.
Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).

Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat  kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.
Aspek-aspek keseimbangan itu ialah:
1. Aspek fizikal dan material.
    Praktikal:
    a. Memastikan makanan kita halal, baik dan berkhasiat. 
    b.Memastikan pakaian kemas dan bersih.
    c. Memastikan tempat tinggal tersusun rapi dan nyaman.
    d. Memastikan kenderaan dalam keadaan yang memuaskan.
    e. Memastikan orang di bawah tanggung jawab kita turut menikmati keperluan ini.
2. Aspek akal atau pemikiran.
    Praktikal:
    a.  Menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah sedaya upaya.
    b. Meluaskan bacaan.
    c. Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kebolehan.
    d. Melakukan aktiviti-aktiviti yang menajamkan minda atau IQ.
    e. Banyak berfikir, mengkaji  dan berbincang.
    f. Bercita-cita menjadi insan berilmu malah sebagai pakar rujuk.
    g. Membantu rakan-rakan, adik-adik atau sesiapa sahaja belajar.

3. Aspek emosi.
    Praktikal:
    a. Memuhasabah sifat pemarah, memandang rendah, rendah diri dan lain-lain.
    b. Banyak memahami sebelum minta difahami.
    c. Menjadi pendengar yang baik.
    d. Melahirkan perhatian, simpati dan empati.
    e. Merawat tekanan emosi dengan kemahiran menyelesaikan masalah.
    f. Menguasai kemahiran interpersonal dengan baik.

4. Aspek rohani atau spiritual.
    Praktikal:
    a. Memantapkan akidah dan iman.
    b. Mendalami soal-soal akhirat seperti  alam barzakh, padang mahsyar, syurga, neraka dan 
sebagainya.
    c. Memahami konsep dosa dan pahala.
Orang mukmin yang menyedari keperluan untuk menjadi seimbang ini, akan tekun mencapainya. Setiap hari, dia menjadi tekun untuk memasukkan kualiti baru ke dalam diri.
Allah Mahukan Kita Hasilkan Kerja Yang Professional dan Berintegriti

Allah mengabadikan kata-kata keramat puteri Nabi Syuaib di dalam al-Quran.

Maksudnya: “Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: ‘Wahai ayahanda, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat (al-qawiyy) lagi amanah (al-amin).’       

Apa yang Allah mahukan? Allah mahukan hasil kerja yang professional (al-qawiyy) dan berintegriti (al-amin).

Dalam peristiwa yang terakam di dalam al-Quran ini, dua orang puteri Nabi Syuaib iaitu Syafura dan Liya terpegun dengan keperibadian Nabi Musa a.s. Beliau bukan sahaja gagah melaksanakan tugasannya ketika menolong mereka memberikan air kepada binatang-binatang ternak, bahkan  cukup amanah dan berakhlak mulia melaksanakannya.

Lantas, dilaporkan kepada si ayah. Nabi Syuaib pantas berminat menawarkan perkerjaan kepada Nabi Musa. Jelas, dengan sifat professional dan berintegriti yang dimasukkan dalam diri seseorang mengundang rasa kepercayaan dan kekaguman. Kesedaran ini akan menjana sifat tekun untuk mencapai piawaian al-qawiyy dan al-amin di sisi Allah. 

Dalam perkerjaan yang kita lakukan samada belajar, membuat assignment, mengadakan perbentangan, belajar berkumpulan, membuat persiapan untuk peperiksaan, mengikuti program peningkatan diri serta kepimpinan dan sebagainya, Allah mahukan kita menjadi al-qawiyy (kuat lagi professional) serta al-amin (amanah dan berintegriti). Itulah hasil kerja yang berkualiti dan perlukan ketekunan untuk mencapainya. 
Allah Mahukan Kita Terbilang Dunia dan Akhirat
Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan carilah apa yang telah dikurniakan kepadamu (kebahagian) di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (Surah al-Qashah: 77).

Apa yang Allah mahukan?  Allah mahukan kita cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW juga mengajar kita berdoa agar mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat.

Sesetengah remaja keliru sendiri, “Saya sudah belajar bersungguh-sunguh dan tidak bergaul bebas, tapi keputusan peperiksaan saya biasa-biasa sahaja. Baik jadi macam dia. Dia studi lepak-lepak, bercinta pula tu, tapi result gempak. Dia lebih berjaya.” Kepercayaan silap ini mempengaruhi sikap dan tindakan remaja itu untuk tidak lagi tekun mencapai kesungguhan dalam belajar dan keindahan dalam berakhlak.

Hakikatnya ramai orang yang masih tidak tahu erti berjaya meskipun setiap orang menginginkannya. Adakah berjaya itu apabila mendapat keputusan berderet A tetapi asyik derhaka kepada Allah dengan bergaul bebas sebelum berkahwin? Adakah berjaya itu apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik tetapi menyombongkan diri daripada orang sekeliling? Adakah berjaya itu apabila kebijaksanaannya dikagumi orang tetapi berakhlak buruk?

Berjaya yang hakiki ialah apabila mendapat wajah Allah, keredhaan-Nya dan  syurga yang abadi. Maka, segala apa yang kita usahakan di dunia mestilah bermatlamatkan akhirat. Jika usaha kita  tanpa disertai niat dan akhlak ahli syurga, kejayaan daripada usaha itu hanyalah bersifat sementara, menipu daya dan tidak ke mana.

Maka, mukmin yang sedar akan tekun melengkapi diri dengan kualiti dunia dan akhirat kerana hidup ini menjadi penting dengan adanya negeri abadi. Setiap perbuatan baik walau sebesar zarah akan dihargai dan setiap perbuatan jahat walau sebesar zarah akan dibalasi.
      
     
Target Mencapai Piawaian Allah

Lakukanlah sesuatu dengan meletakkan piawaian Allah SWT di hadapan sebagai target yang ingin dicapai. Insya-Allah, ia suatu rahsia hebat untuk menjana ketekunan atau jiddiyyah yang luar biasa dalam hidup kita.

Tuesday, 26 March 2013

Mintalah Fatwa Dari Hatimu by Fatimah Syarha


Nabi Tahu Soalannya

 “Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan  adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.

Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa

Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa.  Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita.  Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan. 

Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah

Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan  tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.

Jika Ragu, Tinggalkanlah

Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.  Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A.  Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dantahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.

Isyarat Hati 

Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1)      Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud  menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2)      Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
                Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.  
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.

(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)

Popular Posts