Apabila hujan turun dengan begitu lebat sehingga seminggu tidak nampak matahari, maka datang seorang lelaki dan meminta doa daripada Rasulullah SAW agar Allah SWT menghentikan hujan kerana berlaku kerosakan pada harta dan jalan. Maka Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.”
Riwayat al-Bukhari (1014)
Maka berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar Allah SWT mengalihkan hujan ini ke tempat-tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan. Sememangnya memperbanyakkan doa ketika musibah itu adalah amalan yang dituntut oleh Syarak. Daripada Ummul Mukminin, Umm Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ، وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon akan kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”
Riwayat Muslim (918)
Begitu juga, digalakkan bagi seorang Mukmin itu memperbanyakkan istighfar, meminta ampun dan maaf daripada Allah SWT daripada apa-apa dosa yang dia lakukan sama ada sedar atau tidak sedar. Ini kerana dosa akan mengundang bala dan musibah dalam kehidupan seorang Mukmin manakala istighfar akan menolaknya dan menggantikan dengan kebaikan yang tak disangka-sangka. Daripada Abdullah bin Abbas R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya pada setiap kesempitan ada jalan keluar, dan pada setiap duka cita ada perlepasan, dan Allah merezekikannya daripada arah yang tak disangka-sangka."
Riwayat Abu Daud (1518) dan Ibn Majah (3819)
Sumber: Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri
Aminn...semoga lekas berhenti banjir2 semua
ReplyDeleteaminn
Deleteآمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ
ReplyDeleteSemoga Allah ampunkan dosa dosa kita dan makbulkan doa kita.